ISU pencerobohan tanah haram dan dusun durian Musang King ibarat letupan petir yang menggegar rakyat seluruh negara.
Ianya melibatkan tanah ribuan ekar yang diteroka secara haram berpuluh tahun lamanya. Sudah pasti kerajaan negeri telah kehilangan cukai atau pendapatan yang sudah pasti beratus juta ringgit.
Yang anehnya, sudah ada laluan masuk ke tanah tersebut dan kenderaan lalu lalang sudah begitu biasa, tetapi tidak ada apa-apa tindakan diambil.
Apa peranan Jabatan Hutan, Majlis Daerah, malah penghulu atau ketua kampung selama ini?
Kenapa Jabatan Hutan berdiam diri? Di mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen kawasan tersebut sehingga secara terbuka ada penceroboh tanah haram dan membuka ladang durian Musang King? Mana rule of law?.
Mana peraturan undang-undang? Adakah kerana ianya dalam hutan, maka diguna pakai undang-undang rimba?
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan tegas mencadangkan tindakan berikut dan dilaksanakan dengan segera:
i. Kerajaan didesak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi tujuan menyiasat sehingga ke akar umbi bagaimana berpuluh tahun lamanya tanah di Raub, Pahang ini diteroka secara haram dan ratusan juta ringgit kerajaan negeri hilang pendapatan. Siasatan dibuat secara terbuka dan semua pihak akan mengetahui hal sebenarnya apa yang berlaku di sebalik tabir.
Laporan penuh hendaklah didedahkan secara rasmi kepada umum untuk pengetahuan seluruh rakyat Malaysia. Undang-undang wajib didaulatkan.
ii. Seluruh tanah yang terlibat ini segera digazetkan sebagai Tanah Rizab Melayu, yang sudah banyak hilang tanpa diganti.
Di Pahang, negerinya seluas 3,597,468.43 hektar, tetapi Tanah Rizab Melayu hanya 436,910.47 hektar atau 12.14 peratus sahaja tahun 2014.
Jika ini tidak dilakukan, ibaratnya ‘Melayu Tidak Hilang di Dunia, tetapi Bumi Melayu Akan Hilang di Malaysia.
iii. Kemudian tanah ini sesudah digazetkan sebagai Tanah Rizab Melayu wajar diserahkan kepada agensi kerajaan atau ditubuhkan perbadanan atau melantik mana-mana koperasi yang berwibawa untuk menguruskan tanah tersebut yang ditanam dengan durian Musang King.
Pekebun-pekebun yang terlibat boleh menyewa balik tanah tersebut dengan kaedah menang-menang, adil dan saksama.
Inilah cara terbaik dan Putra Malaysia mengharapkan semua pihak menyokong cadangan yang dikira mulia dan berwibawa ini.
Parti Putra akan menyediakan memorandum atau nota cadangan kepada kerajaan negeri Pahang dan juga kepada Istana Pahang bagi tujuan mendapat restu ampun perkenan Kebawah Duli Tuanku Pemangku Al-Sultan Pahang Darul Makmur yang bersemayam di singahsana dengan penuh daulat dan berkat. Insya-Allah. – MalaysiaGazette
Penulis, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, Presiden Putra Malaysia