Seramai 15 PATI warga Indonesia yang dicekup pasukan tentera dalam serbuan Op Benteng ketika cuba naik bot untuk pulang ke negara asal.

KUALA LUMPUR – Rancangan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba pulang ke negara asal dengan menaiki bot ditahan di Sedili Kechil, Kota Tinggi, Johor.

Pegawai Perhubungan Awam Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak, Mejar Azemy Dulhani berkata, kesemua suspek ditahan dalam Op Benteng pada jam 1.45 pagi.

“Hasil maklumat perisikan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah memaklumkan terdapat pergerakan PATI di kawasan Sedili Kechil, Kota Tinggi, Johor.

“Kumpulan Petugas Rondaan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) oleh Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) yang sedang mengawasi pesisiran pantai turut melihat sebuah bot di jarak 100 meter sedang merapati persisiran pantai sekitar jam 1.30 pagi.

“Beberapa minit selepas itu didapati sekumpulan individu kelihatan mencurigai keluar dari semak berhampiran menuju perairan untuk menaiki bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azemy, serbuah yang dilakukan itu menyaksikan 12 PATI warga Indonesia, yang terdiri daripada lapan lelaki dan empat perempuan berusia sekitar 19 hingga 45 tahun, yang dipercayai ingin pulang ke Indonesia ditahan.

Sementara itu, katanya, kumpulan Quick Reaction Force (QRF) turut digerakkan pada jam 2.50 pagi dan mereka berjaya menahan dua lagi PATI lelaki yang sedang bersembunyi di pinggir hutan pada jarak kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, pada jam 7.00 pagi kumpulan penggeledahan berjaya mengesan dan menahan seorang lagi PATI lelaki warga Indonesia yang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM40,000 melibatkan wang tunai dan 17 buah telefon bimbit.

“Kesemua tekong dan PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dan pengendalian adalah mengikut SOP Covid-19.

“Pasukan meneruskan kawalan keselamatan di persisiran pantai dan laporan tangkapan terhadap kesemua PATI telah dibuat di Balai Polis Kuala Sedili dan diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas dilibatkan dalam ujian saringan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette