Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz antara penerima darjah PSM yang membawa gelaran Tan Sri. 

KUALA LUMPUR- Petronas tidak merancang untuk melakukan pembuangan pekerja meskipun berhadapan dengan situasi mencabar ketika ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, syarikat minyak dan gas negara itu komited untuk melaksanakan semua langkah yang diperlukan bagi memulihkan semula prestasi syarikat yang telah merekodkan kerugian sebanyak RM16.5 bilion pada separuh pertama tahun ini.

Jelasnya, antara perkara yang akan dilakukan termasuklah membentuk semula gabungan portfolio syarikat dan menyusun semula sumber manusia.

Ketika ditanya kemungkinan berlakunya pengurangan gaji untuk meringankan beban kewangan syarikat, Tengku Muhammad Taufik berkata, pertimbangan mendalam peringkat akhir sedang dijalankan.

“Sebarang keputusan berhubung perkara ini akan disampaikan kepada pekerja terlebih dahulu.

“Kami menganggap perkara sebegini sebagai urusan keluarga,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan prestasi kewangan syarikat di sini hari ini.

Setakat 2019, Petronas mempunyai 47,669 pekerja.

Tambah Tengku Muhammad Taufik, Petronas turut merancang untuk mengurangkan perbelanjaan modal sebanyak 21 peratus dan perbelanjaan operasi sebanyak 12 peratus tahun ini.

Ini katanya, membolehkan Petronas menambah simpanan menjelang akhir tahun 2020.

Pada suku kedua 2020, Petronas merekodkan penurunan pendapatan sebanyak 42 peratus kepada RM34 bilion berbanding RM59.1 bilion tempoh sama tahun lepas disebabkan oleh kejatuhan harga bagi produk-produk utama dan volum jualan yang rendah terutamanya daripada produk petroleum, LNG dan gas yang telah diproses.

Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM21 bilion pada suku kedua 2020 berbanding untung bersih RM14.7 bilion pada suku yang sama tahun lalu didorong oleh penurunan perolehan dan kerugian rosot nilai aset bersih.- MalaysiaGazette