Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Isu pencemaran sumber air di Selangor sehingga menjejaskan lebih 1.2 juta pengguna di Lembah Klang akan dibawa segera ke mesyuarat Kabinet, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi itu dalam ciapan di laman Twitter berkata, sumber air perlu dilihat sebagai kategori keselamatan negara.

Beliau mahu kerajaan meminda segera akta berkaitan air dan alam sekitar untuk membolehkan hukuman berat terhadap perosak dan pencemar sumber air negara.

“Wajar kerajaan meminda akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Kualiti Alam Sekeliling untuk memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang mencemarkan sumber air.

“Sumber air perlu dilihat sebagai kategori keselamatan negara. Akan dibawa ke Jemaah Menteri (mesyuarat kabinet),” katanya.

Dalam satu lagi ciapan susulan beliau turut menegaskan Jabatan Kimia telah menerima sampel air tercemar untuk dianalisa bagi membantu siasatan.

Ciapan Khairy Jamaluddin.

“Jabatan Kimia telah menerima sampel daripada Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan Kementerian Kesihatan Putrajaya serta Lembaga Urus Air Selangor berkenaan pencemaran sumber air yang menyebabkan gangguan bekalan air.

“Analisa volatile organic compound sedang dilaksanakan bagi membantu siasatan terhadap kilang yang disyaki,” katanya lagi.

Ciapan komen beliau mendapat reaksi positif dan disokong beberapa pemilik akaun Twitter tersebut.

Satu akaun bernama Alexithymia @Prinsip2020 membalas status komen KJ menggesa Ahli Parlimen Rembau itu mengusulkan di Dewan Rakyat supaya penjara mandatori dikenakan kepada lembaga pengarah syarikat dan tertuduh perlu menanggung segala kos pembersihan serta kos ganti rugi.

“Bila akta berkenaan dibentang, barulah rakyat boleh menilai MP mana yang bersifat pro kapitalis,” kata pemilik akaun itu.

Seorang lagi pemilik akaun twitter bernama FARISJAMALFJ -ikansadinmkorang@FarisJamalFJ pula menyatakan bahawa sumber air termaktub dalam aspek keselamatan.

“Bayangkan, kita baru hadap pencemaran skala kecil mcm ni 4 hari bekalan air tergendala. Ni belum hadap serangan pengganas atau sabotaj kententeraan menggunakan senjata kimia,biologi mahupun konvensional keatas sumber dan prasarana air,” katanya. – MalaysiaGazette