KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) mengecam Kerajaan Selangor yang didakwa tidak pernah serius dalam menangani isu-isu air termasuk membasmi pembinaan kilang-kilang haram di sepanjang sungai.
Presidennya, Datuk Dr Jacob George mendakwa, sejak tahun 1993/94 lagi pihaknya telah membawa mengenai isu pembinaan kilang-kilang haram di sepanjang sungai di negeri ini.
Perkara itu dibentangkan secara mendalam bersama cadangan resolusi, bukan sahaja di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi juga kepada Kerajaan Negeri Selangor.
“CASSA pernah bangkitkan isu ini sejak tahun 1993/94, sudah 28 tahun. Apa mereka buat selama ini?
“Kami timbulkan isu gangguan dan tekanan air pada tahun 1993, mereka kata akan ganti paip-paip lama. Selepas itu timbul lagi masalah air, mereka kata air disabotaj.
“Sekarang pula terang-terangan isu pencemaran sungai, puncanya kilang haram. Jadi saya hendak tanya apa yang agensi-agensi berkaitan air termasuk PBT buat selama ini. Tidak pantau ke apa yang ada di sepanjang sungai?
”Kalau mereka (Kerajaan Selangor) peduli tentang kebimbangan kami, tentang keselamatan jutaan pengguna tidak mungkin isu pencemaran sungai oleh kilang haram berlaku lagi pada tahun 2020,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Oleh itu, katanya, Kerajaan Selangor perlu memikul tanggungjawab kerana gagal mengurus dan mentadbir air di Selangor secara total.
George berkata, sebagai sebuah negeri yang mengambil peranan membekalkan air kepada penduduk di Lembah Kelang, Selangor yang juga disebut-sebut sebagai negeri paling maju sepatutnya berasa malu kerana gagal menguruskan sistem air dengan betul dan sempurna.
Beliau percaya, rakyat sudah mula bosan dengan alasan demi alasan yang diberikan setiap kali berlaku gangguan air kerana pada akhirnya tidak sebarang penyelesaian.
“Semasa berlaku pencemaran mereka akan keluar kenyataan macam-macam, tapi nampaknya berlaku lagi. Apa jadi dengan kenyataan-kenyataan sebelum ini. Adakah ia retorik atau janji politik?” soal beliau.
Justeru, George berkata, Selangor patut malu kerana tidak berupaya memantau keselamatan air di sepanjang sungai di negeri itu.
Lebih memalukan apabila PBT dan agensi-agensi penguatkuasa yang ada tidak mampu mengawal pembinaan kilang-kilang haram sedangkan peruntukan undang-undang yang ada sudah cukup lengkap.
“Selangor patut malu kerana pada zaman globalisasi dan di tengah-tengah ledakan teknologi, rakyatnya terpaksa beratur dan menadah air di pili.
“Kalau sekali dalam beberapa tahun tidak mengapa, tetapi gangguan besar berlaku setiap tahun.
“Setiap tahun juga rakyat Selangor melahirkan rasa marah, kecewa. Peniaga pula ramai terjejas setiap kali berlaku gangguan air. Tapi apa reaksi Kerajaan Selangor dan tindak balas mereka terhadap isu ini terus menjadi tanda-tanya.
“Jadi, pada saya Selangor perlu berasa malu kerana gagal mengurus keselamatan air,” ujarnya sambil mendakwa seluruh Lembah Kelang tidak pernah lekang daripada gangguan bekalan air sama ada berjadual dan tidak berjadual.
Lebih dikesalkan apabila setiap kali berlaku isu air, maka muncul ‘pelakon-pelakon’ untuk menunjukkan peranan masing-masing demi survival politik masing-masing.
Sikap itu, katanya, sangat menjengkelkan kerana Kerajaan Selangor sewajarnya meletakkan pengurusan dan pentadbiran air sebagai keutamaannya dan bukan hanya ketika berlaku gangguan besar.
Tegasnya, jika semua pihak yang diberi kuasa menjadikan isu air sebagai satu jaminan keselamatan negara, maka tidak timbul gangguan bekalan air yang terlalu kerap.
Tahun lalu sahaja, CASSA mendapati ada lima kes gangguan air berskala besar.
“Tak cukup dengan lima, tahun ini bertambah lagi,” katanya secara sinis sambil melahirkan rasa hairan mengapa masalah air yang dianggap isu lapuk sukar ditangani oleh Kerajaan Selangor.
Sepatutnya, kata George, sebagai sebuah negeri yang kaya, Selangor tidak ada alasan untuk membuat pelaburan besar dalam sistem pengurusan air, yang juga boleh diguna pakai di negeri-negeri lain yang turut mengalami masalah sama.
Sebagai sebuah negeri maju, Selangor juga tidak sepatutnya ada masalah untuk menggembleng pemikir-pemikir yang hebat dalam menangani isu air, tambahnya. – MalaysiaGazette