Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada persidangan Dewan Negara hari ini.-Gambar FB Muhyiddin .

KUALA LUMPUR – Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) merupakan platform tertinggi untuk memperbaharui dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi bumiputera.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MKB akan dipengerusikannya sendiri.

Ia juga akan akan dianggotai oleh beberapa anggota jemaah menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga tokoh-tokoh perniagaan bumiputera.

“Bagaimanapun, ingin saya jelaskan di sini, kedudukan dan keseimbangan ekonomi antara kaum di dalam negara akan terus menjadi keutamaan kerajaan Perikatan Nasional.

“Program serta usaha untuk membasmi kemiskinan hendaklah dilakukan secara menyeluruh.

“Ini bagi membolehkan usaha pengumpulan data berkenaan tahap kedudukan ekonomi masyarakat dilakukan, sekali gus merancang pembangunan ekonomi yang lebih adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Muhyiddin berkata, beliau membuat penjelasan yang sama pada sidang Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris.

Menurut beliau, usaha itu juga akan melihat kepada faktor-faktor lain yang menyebabkan berlakunya perbezaan atau jurang ekonomi dalam kalangan masyarakat.

“MKB juga bukanlah lanjutan daripada Dasar Ekonomi Baharu yang diperkenalkan sebelum ini. Ia adalah dasar baharu yang diwujudkan untuk menilai sejauh mana tahap atau kedudukan ekonomi Bumiputera dan bagaimana menentukan hala tuju ekonomi bumiputera pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, beliau juga menyatakan komitmen kerajaan untuk terus memperkasa agenda bumiputera sebagai agenda nasional.

“Kedudukan sosioekonomi bumiputera masih perlu dilonjakkan meskipun pelbagai usaha telah dilakukan dan kejayaan dicapai,” katanya.- MalaysiaGazette