Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Zamri Yahya . foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Satu pasukan khas Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) ke Pulau Langkawi, Kedah untuk menyiasat dakwaan penglibatan anggota polis yang mewujudkan rangkaian tokan dadah di pulau peranginan itu.

Pengarahnya, Komisioner Datuk Zamri Yahya berkata, beliau sendiri akan turun padang untuk meneliti dakwaan itu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan kes dadah di pulau itu.

Katanya, siasatan itu akan bersifat menyeluruh mengenai dakwaan yang dilaporkan itu.

“Kami akan menyemak kaedah siasatan dan rekod siasatan yang dijalankan oleh pasukan Langkawi dalam kes dadah selama ini.

“Saya juga sedang mencari masa yang sesuai dan akan turun sendiri ke Pulau Langkawi untuk melihat dan mendapatkan gambaran menyeluruh secara lebih jelas dalam kes dadah.

“Jika kita dapat (maklumat) dari sumber terbuka, kita akan dapat kesimpulan tidak tepat nanti.

“Oleh demikian kita kena mendalami dengan lebih tersusun dan berobjektif untuk mendapatkan gambaran lebih tepat,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Datuk Seri Mazlan Lazim dan Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

Menurut Zamri, setakat ini beliau tidak mendapat butiran lanjut mengenai kes tersebut dan hanya mengetahui mengenainya menerusi laporan akhbar tiga hari lalu.

Akhbar itu mendedahkan kegiatan penagihan dan penjualan dadah membabitkan tokan kecil yang dikatakan dikawal seorang anggota polis dan konconya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui pihaknya menyedari kewujudan kegiatan penagihan dan penjualan dadah di Pulau Langkawi yang didalangi anggota polis serta konco-konconya.

“Saya terbaca seolah wujud kingpin dadah di Langkawi..

“Saya juga membaca ulasan pihak bomba yang menyatakan bahawa polis Langkawi ada menyiasat tapi tak begitu mendalam.

“Pun begitu , kita akan turun bersama pasukan JIPS dan siasat mendalam nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazettete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast