Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap semasa sidang media pada Majlis Penganugerahan Penggredan Institut Memandu Siri 2 di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 SEPTEMBER 2020

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membuat pengumuman mengenai penjajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) setelah proses sewajarnya mengenai projek itu selesai.

Ini kerana masih ada beberapa proses yang perlu dilakukan dan pengumuman tidak boleh dibuat dalam tempoh segera,
kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, akan ada pengumuman rasmi dan taklimat media mengenai kemajuan terbaru mengenai projek tersebut.

“Tunggu pengumuman rasmi. Kita mempunyai proses yang perlu diselesaikan.

“Pada masa ini, semuanya sedang berjalan dan saya hanya akan mengumumkan ketika semuanya sudah disahkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Penggredan Institut Memandu Siri Dua di sini, hari ini.

Ka Siong ditanya wartawan mengenai penjajaran ECRL sama ada akan dikembalikan kepada penyelarasan asal yang dicadangkan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Beliau enggan mendedahkan sama ada jajaran projek itu menggunakan pelan asal atau rancangan baharu yang diumumkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Dalam tempoh dua tiga bulan, lihatlah perbincangan di Dewan Rakyat, macam mana dan menjurus ke mana. Itu semua boleh dapat satu tanggapan mengenai projek ECRL.

“Mereka ada pandangan masing-masing dan semua ini kita ambil kira, termasuk pandangan daripada kerajaan negeri,” ujarmya.

Menurut laporan, cadangan penempatan semula ECRL berpotensi menambah perbelanjaan sehingga RM20 bilion.

Penjajaran ECRL terbahagi kepada tiga bahagian – Bahagian A dari Kota Baru ke Dungun, Bahagian B dari Dungun ke Mentakab dan Bahagian C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang.

Ka Siong sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa masalah kos dan persekitaran adalah antara yang harus diselesaikan sebelum penyelarasan ECRL dapat diselesaikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast