ISTANBUL – Tunang Jamal Khashoggi menganggap keputusan mahkamah tidak mengenakan hukuman mati ke atas lima individu yang didakwa terlibat dengan pembunuhan wartawan itu pada 2018 sebagai satu sandiwara.
“Keputusan (mahkamah) hari ini di Arab Saudi merupakan sesuatu yang tidak masuk akal kepada keadilan.
“Komuniti antarabangsa tidak akan menerima sandiwara ini,” kata Hatice Cengiz dalam akaun Twitter.
Pada Mei lalu, anak-anak Khashoggi memaafkan pembunuh ayah mereka, yang mana tindakan tersebut menyaksikan hukuman yang lebih ringan dikenakan dalam kes yang telah mencemarkan reputasi Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Tujuh individu yang terlibat dalam pembunuhan Khashoggi dihukum penjara antara tujuh hingga 20 tahun.
Menurut laporan media, lima individu dikenakan hukuman penjara 20 tahun, seorang 10 tahun dan dua lagi tujuh tahun.
Namun, tiada seorang pun nama tertuduh didedahkan.
Perbicaraan kes itu mendapat kritikan hebat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan hak asasi manusia kerana dalang utama pembunuhan itu masih bebas.
Khashoggi, seorang pengkritik Putera Mahkota itu kali terakhir dilihat berada di konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018.
“Pihak berkuasa Arab Saudi sedang menutup kes itu tanpa dunia mengetahui kebenaran siapa yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Jamal.