Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nilai moratorium Bayaran Balik Pinjaman Institusi Kewangan yang dikuatkuasakan sejak 1 April lalu dianggarkan berjumlah RM81.9 setakat 28 Ogos 2020.

Daripada angka ini, sebanyak RM28.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh peminjam individu bernilai RM53.3 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sehingga 28 Ogos 2020, pihak bank telah menghubungi lebih 2 juta peminjam yang merangkumi individu, PKS dan syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersil bagi menawarkan bantuan pembayaran pembiayaan.

“Satu fakta yang memberangsangkan ialah sebanyak 732,000 peminjam yang mengambil moratorium secara automatik telah kembali meneruskan bayaran ansuran bulanan pinjaman berbanding dengan 336,000 peminjam pada bulan April 2020,” katanya di sini.

Dalam pada itu, institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang masih terjejas akibat Covid-19 melalui moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar bermula 1 Oktober 2020.

Inisiatif ini bagi menjamin perniagaan dan isi rumah yang benar-benar memerlukan akan terus dibantu melalui akses kepada pembiayaan.

Menurutnya, penemuan dan pembuatan vaksin Covid-19 secara komersial akan mengambil masa, oleh itu, negara perlu memastikan sistem perbankan negara kekal utuh dan kukuh untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan di masa hadapan.

Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan bank-bank tempatan telah mengadakan
lebih daripada 100 sesi libat urus melibatkan pihak berkepentingan serta giat mengadakan dialog bagi memastikan peralihan daripada moratorium secara
automatik kepada program bantuan yang lebih bersasar dapat berjalan dengan lancar.

Ini termasuk Kempen Pelan Bayaran Balik Pinjaman ( RAC) yang bertujuan memberi khidmat nasihat serta pelan perancangan bayaran balik pinjaman/pembiayaan pasca moratorium. – MalaysiaGazette