AMMAN – Beberapa letupan besar menggegarkan bandar Zarqa awal hari ini disyaki berpunca daripada litar pintas yang berlaku berhampiran gudang peluru milik tentera.

Setakat ini tiada laporan kematian akibat letupan yang berlaku di bandar kedua terbesar Jordan itu, kata pegawai pemerintah tentera.

Api berwarna jingga menjulang ke langit di tengah padang pasir  dan ia boleh dilihat sejauh ibu negara, Amman kira-kira 35 kilometer di barat daya.

“Kami rasa seperti gempa bumi melanda. Tingkap bergetar dan gelas pecah. Anak saya mula menangis,” kata penduduk Zarqa, Nabila Issa, seorang suri rumah tangga dan ibu kepada lima orang anak.

Pihak berkuasa keselamatan menutup Zarga, bandar industri dengan penduduk seramai 1.5 juta orang, selain menghalang trafik sama ada meninggalkan atau memasuki bandar itu, lapr Reuters.

Para wartawan yang mahu membuat liputan insiden letupan itu dihalang daripada melakukannya.

Kawasan padang pasir di mana letupan berlaku menempatkan beberapa peralatan untuk pengkalan tentera Amerika Syarikat (AS) termasuk landasan terbang yang dibina pada 2018.

Lokasi strategik Jordan merupakan ideal kepada logistik dan hab pembekalan untuk AS, termasuk menempakkan pasukan tentera AS di Tanf di tenggara Syria.

“Siasatan awal  menunjukkan letupan disebabkan litar pintas di gudang peluru tentera yang terletak di kawasan terpencil dan tidak dihuni dan ia di bawah pemantauan kamera,” kata jurucakap kerajaan, Amjad Adailah.

Adailah berkata, mortar yang disimpan di kemudahan itu telah usang dan tidak boleh digunakan tetapi seorang sumber tentera yang tidak mahu dikenali memberitahu bahawa terdapat senjata disimpan seperti peluru berpandu anti pesawat.

Pemerintah tentera yang enggan mengulas punca kejadian berkata, siasatan sedang dijalankan.

Para pegawai AS berkata, bantuan ketenteraan yang diberikan kepada Jordan adalah untuk membantu membina keupayaan pertahanan negara itu sebagai sebahagian daripada startegi serantau yang lebih liuas. – MalaysiaGazette