Sungai Gong.

KELESTARIAN secara umumnya membawa maksud pengekalan sesuatu perkara atau keadaan. Ini bermakna, kelestarian ada kaitannya dengan usaha mengekalkan serta memelihara keaslian. Walaupun begitu, kelestarian dalam konteks yang lebih luas sewajarnya merangkumi bukan sahaja pengekalan tetapi turut menambahbaik keadaan sedia ada.

Kefahaman kelestarian ini sinonim dan dikaitkan dengan bidang alam sekitar iaitu melalui
konsep pembangunan lestari. Konsep ini bermaksud, satu bentuk pembangunan yang
memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka. Dari sudut pandangan hidup Islam, konsep ini merangkumi tuntutan untuk berlaku adil kepada semua makhluk Allah SWT, berhemah dalam penggunaan, berhikmah dalam membuat keputusan serta mengambil kira konsep maslahah dalam melayari kehidupan sebagai hambaNya.

Kelestarian adalah proses mengekalkan perubahan dalam cara yang seimbang, di mana
eksploitasi sumber, arah pelaburan, orientasi pembangunan teknologi dan perubahan
institusi semuanya harmoni dan meningkatkan potensi masa kini dan masa depan untuk
memenuhi keperluan dan aspirasi manusia. Kelestarian ditakrifkan melalui bidang-bidang
atau domain yang saling berkaitan: persekitaran, ekonomi dan sosial. Sub-domain
kelestarian mapan juga perlu dipertimbangkan: budaya, teknologi dan politik Isu Air di Selangor di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

Baru-baru ini, rakyat di Selangor melibatkan 1.2 juta pemegang akaun air atau sekurang-
kurangnya 6 juta rakyat di Selangor telah kehilangan keperluan asas utama iaitu air.
Keadaan menjadi lebih parah apabila bekalan air terputus dek kerana pencemaran yang
berlaku di muka sauk sumber air. Difahamkan pencemaran adalah disebabkan oleh
pelepasan sisa-sisa minyak oleh kilang-kilang yang dipercayai kilang haram. Siasatan masih dijalankan dan diharapkan keadilan dapat ditegakkan.

Kemudian, beberapa pimpinan Pakatan Harapan, seperti YB Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang, meminta Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man meletak jawatan jika kerajaan gagal mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyebabkan pencemaran Sungai Selangor dalam tempoh sebulan. Untuk makluman, Charles Santiago merupakan mantan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika era pentadbiran Pakatan Harapan.

Komentar daripada mantan Pengerusi SPAN ini menunjukkan kedangkalan beliau dalam
pemahaman isu air di Selangor. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyeru YB
Charles Santiago untuk melihat kenyataan Kerajaan Negeri Selangor yang tahu wujudnya
kilang-kilang haram di Selangor dan telah membenarkan mereka beroperasi sejak tahun
2008. Kenyataan ini turut dikongsikan oleh Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor,
Saudara Isham Jalil yang turut mengecam tindakan Kerajaan Negeri Selangor.

Isu pencemaran air di Selangor adalah di luar bidang kuasa Menteri Alam Sekitar dan Air jika kilang haram dibenarkan untuk terus beroperasi. Menteri Besar Selangor berkata, " Kami sudah beri tawaran untuk mereka (pemilik tanah dan kilang haram) pulihkan (jalankan proses pemutihan) sejak tahun 2008 lagi. Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terakhir pada 2018 memutuskan agar tindakan itu dipanjangkan sehingga 2020. Lepas 2020 kami akan ambil tindakan perobohan dan sebagainya."

Ini bermakna Kerajaan Negeri Selangor sudah tahu adanya kilang-kilang haram di Selangor sejak 2008 lagi. Namun kerajaan negeri termasuk Menteri Besar masih benarkan mereka beroperasi sejak 12 tahun lalu. Apabila kejadian pencemaran sungai berlaku pada awal PKP, bulan Mac 2020, kerajaan negeri masih membenarkan kilang-kilang ini wujud sehingga beberapa bulan lagi tanpa tindakan merobohkannya serta merta. Mereka hanya dikenakan kompaun RM 60,000.

Sekali lagi, mantan Pengerusi SPAN jauh tersasar kerana isu pencemaran air di Selangor ini adalah disebabkan oleh lemahnya penguatkuasaan di peringkat negeri. Beliau seharusnya berterima kasih kepada Menteri Alam Sekitar kerana berusaha sedaya upaya untuk memulihkan keadaan dengan cepat, dengan bantuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS). Pemulihan air terawat adalah di dalam bidang kuasa SPAN, di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air. Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa ditutup demi memastikan tiada pencemaran memasuki paip-paip air rakyat kita. Tindakan yang diambil oleh SPAN dan Air Selangor adalah tepat.

Untuk memastikan isu pencemaran air di Selangor tidak berulang, Dewan Pemuda IKATAN
Malaysia menyeru semua pihak untuk bergandingan bagi memastikan keperluan asas rakyat, khususnya tidak lagi diragut. Air merupakan khazanah negara untuk rakyat semua.

Di peringkat Kerajaan Persekutuan, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) Seksyen 121 (1) (c) boleh digunakan.
 (1) (c) Seseorang yang mencemarkan atau menyebabkan supaya dicemarkan mana-
mana alur air atau sistem bekalan air atau mana-mana bahagian alur air atau sistem
bekalan air itu dengan apa-apa bahan – yang berkemungkinan akan membahayakan
nyawa mana-mana orang, melakukan suatu kesalahan.
 (2) Seseorang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah subsekyen (1),
apabila disabitkan –
 (a) jika kematian adalah akibat perbuatan itu, hendaklah dihukum dengan hukuman
mati atau pemenjaraan selama tempoh yang boleh berlanjutan sehingga dua puluh
tahun, dan jika hukuman itu bukan hukuman mati, dia boleh juga dikenakan sebatan;
 (b) jika kematian bukan akibat perbuatan itu tetapi bahan yang digunakan untuk
mencemarkan alur air atau sistem bekalan air itu atau mana-mana bahagian alur air
atau sistem bekalan air itu adalah bahan radioaktif atau toksik, boleh dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi lima ratus ribu
ringgit atau disebat atau ketiga-tiganya; atau
 (c) dalam apa-apa kes lain, boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Di peringkat Kerajaan Negeri, Akta Kerajaan Tempatan 1976 perlu dilaksanakan sepenuhnya dan bukan tunggu hingga akhir tahun 2020 untuk bertindak. Akta Kerajaan Tempatan 1976 memperuntukkan bahawa pihak yang mencemar sungai boleh diminta menanggung sepenuh kos pembersihan akibat tindakan mereka. Pihak Berkuasa Tempatan juga boleh menyita malah memusnah bangunan atau aset yang terbabit dalam pencemaran jika tidak mampu akur kepada peraturan. Sekali lagi, mengapa mahu tunggu hingga akhir tahun 2020?

Diharapkan rakyat dapat membantu untuk memantau dan melaporkan kepada SPAN jika
mengesyaki pengilang mencemarkan sumber air. Aduan boleh dibuat kepada
[email protected]. Pihak berwajib seperti Pihak Berkuasa Tempatan perlu diperkasa
untuk membanteras isu lesen kilang yang menyalahi undang-undang alam sekitar.

Pengerusi SPAN hari ini, YB Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli, bersedia untuk membantu
Kerajaan Negeri di Selangor bagi menyelesaikan isu ini selari dengan konsep PRIHATIN Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin. Inilah contoh pemimpin berjiwa besar yang mahu isu rakyat diselesaikan.

Lindungilah khazanah negara kita. Lindungilah sumber air kita. Lindungilah sungai kita.

Shahir Adnan
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna SPAN