Calon Bersatu DUN Senallang, Norazman Utoh Nain selepas selesai menghantar borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah DUN Sulabayan N.64, Senallang N.65 dan Bugaya N.66 di Dewan Masyarakat Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2020.

SEMPORNA – Menyedari lawan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang bukan calang-calang, calon Perikatan Nasional (PN), Norazman Utoh Nain berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memastikan segala gerak kerja bagi memenangi kerusi itu direalisasikan.

Norazman berkata, beliau tekad untuk berusaha keras bagi memberi saingan sengit kepada Shafie.

“Sebagai calon PN di DUN Senallang, kita akan berusaha sebaik mungkin dan kita akur dan terima hakikat lawan yang kita hadapi bukan calang-calang, dia Ketua Menteri Sabah dan saya dapat perhatikan tumpuan media banyak memberikan tumpuan pada DUN ini disebabkan kehadiran Shafie Apdal.

“Kita akan bekerja sebaik mungkin dan kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk cuba menewaskan parti Warisan pada PRN kali ini,” katanya pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Semporna, hari ini.

Selain Shafie, Norazman akan turut berdepan tiga lagi calon iaitu daripada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Mohammad Ramzan Abdul Wahab, calon Parti Cinta Sabah, Madjalis Lais dan Parti Peraduan Rakyat Sabah (PPRS), Datuk Pengeran Ahmad Datuk Ali Alam.

Mengulas lanjut, Norazman berkata, pertandingan sesama keluarga adalah perkara biasa yang dipamerkan di Sabah.

Katanya, itu menunjukkan semangat demokrasi yang diamalkan di negara ini dipraktikkan sebaik mungkin oleh semua pihak.

“Pertama kali dalam PRN pertandingan dengan keluarga bukan benda yang asing kalau kita lihat di kalangan calon-calon yang bertanding di ketiga-tiga DUN ini saling berkaitan.

“Jadi di Semporna ini keunikannya. Tidak ada masalah dari segi kekeluargaan cuma berlainan ideologi politik dan kita bawa haluan masing-masing,” katanya lagi.

Norazman yang juga Naib Ketua PPBM bahagian Semporna adalah anak buah kepada Shafie Apdal.

Pada PRU14 yang dua tahun lalu, kerusi DUN berkenaan turut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Shafie dengan sepupunya iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, dengan keputusan memihak kepada Shafie yang memperoleh 7,754 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast