Calon BN N.22 Tanjung Aru, Mohd. Reduan Aklee beramah mesra dengan penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Pasar Pekan Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU: Meskipun mengakui bukan mudah menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru kerana berhadapan dengan ramai calon parti lain namun ia bukan alasan kepada calon Barisan Nasional (BN),  Mohd Reduan Aklee.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putatan akan menggunakan kelebihan sebagai anak jati Tanjung Aru walaupun menyedari akan berlaku perpecahan jumlah undi.

“Tidak dinafikan memang akan ada perpecahan undi kerana apabila kita lihat penamaan calon bukan satu, dua tetapi lapan calon menawarkan diri.

“Tetapi apabila pilihan raya kali ini PBS tidak menyertai BN maka kami memohon pihak BN agar UMNO diberi kepercayaan bertanding atas tiket BN dan calon yang telah dipilih yang berasal Tanjung Aru sendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette ketika Program Walkabout di Pekan Tanjung Aru hari ini.

Untuk rekod, DUN Tanjung Aru menyaksikan persaingan lapan penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang dijadualkan diadakan pada 26 September ini.

Penyandang kerusi berkenaan, Datuk Junz Wong daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) ditentang daripada tujuh calon lain antaranya Datuk Edward Yong Oui Fah (Parti Bersatu Sabah) Mohd Reduan dan dua calon wanita Jan Chow Yee Fan (bebas) dan Rizwani Fiona Heng (PGRS).

Selain itu, parti USNO turut meletakkan calon muda mereka di sini iaitu Shaffic Rusaib Shah manakala Parti Cinta Sabah (PCS) diwakili oleh Noran Addy Sukiran.

LDP pula meletakkan Datuk Ibrahim OKK Mohd Laiman Diki.- MalaysiaGazette