Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berucap pada Majlis Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Dataran Begandang, Pekan Beaufort, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2020.

BEAUFORT – Perkembangan ekonomi Sabah di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah Tan Sri Musa Aman dahulu lebih baik daripada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata,  pertumbuhan ekonomi Negeri Di Bawah Bayu itu pada tahun 2017 mencecah sebanyak 8.56 peratus berbanding zaman Warisan yang semakin menurun iaitu hanya 1.5 peratus pada tahun 2018.

Beliau berkata demikian di hadapan Musa yang turut hadir di Majlis Pelancaran Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi/ Huma yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Begandang hari ini.

“Tan Sri Musa ada di depan ini, ketika beliau menerajui Ketua Menteri Sabah pertumbuhan ekonomi sabah mencecah 8.56 peratus d tahun 2017 sebanyak 9.7 peratus tetapi selepas diambil Warisan 2018 hanya mencatatkan pertumbuhan 1.5 peratus, jauh beza itu.

“Pertumbuhan ekonomi semasa Datuk Seri Shafie di bawah kerajaan Warisan ini jangan cakap. (Tahun) 2019 pertumbuhan 0.5 peratus sebab itu kita dapat melihat pengangguran yang meningkat, kemiskinan tidak berganjak,” katanya.

Justeru, beliau yakin keadaan ekonomi di Sabah akan semakin buruk pada tahun ini dan akan datang kerana Shafie gagal menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan. 

“Apatah lagi apabila kerajaan negeri memilih bertentangan kerajaan persekutuan pada tahun 2020, lebih susah ekonomi negeri Sabah ini pada jangka masa akan datang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette