Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (dua kiri) bersama Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd. Dun (kiri) hadir pada Majlis Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Dataran Begandang, Pekan Beaufort, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2020.

BEAUFORT- Setelah mendiamkan diri, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini membuat kejutan apabila hadir di Majlis Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi/ Huma di sini pagi ini.

Ketibaannya pukul 9.15 pagi itu menarik perhatian para media yang membuat liputan pada majlis yang sama.

Majlis Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi/ Huma di Dataran Bagandang merupakan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang  dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara yang turut dijangka hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dan calon Perikatan Nasional (PN) DUN Klias Datuk Isnin Aliasnih.

Untuk rekod, Musa tidak muncul di mana-mana kawasan sejak penamaan calon pada 12 September lalu dan hari ini merupakan kemunculan pertamanya di khalayak ramai.

Spekulasi kini sedang bertiup kencang mengatakan Musa bakal ditawarkan jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) seandainya Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakannya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pada 8 September yang lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu termasuklah Musa untuk mencabar pembubaran DUN Sabah.-MalaysiaGazette