Ismail Sabri Yaakob

KOTA KINABALU – Sekatan jalan raya dan penutupan jalan di Lahad Datu tidak bermakna seluruh daerah itu kini sedang dikawal ketat akibat penularan Covid-19. 

Sebaliknya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, seperti yang dilaksanakan di Kedah sebelum ini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersasar dikuatkuasakan untuk mengawal  pergerakan dengan menumpukan kawasan tertentu berlakunya penularan.

“Kalau ada beberapa kes, tutup seluruh Sabah tidak adil. Sekarang kita buat PKP Bersasar berdasarkan mukim, berdasarkan lokaliti sahaja.

“Mana-mana positif kita akan terus hantar di pusat rawatan,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di sini hari ini.

PKPD (Diperketatkan),  tambah beliau, hanya akan dilaksanakan sekiranya kawasan tertentu yang berlaku penularan diisytiharkan sebagai zon merah.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, sekatan jalan raya dan penutupan jalan di beberapa kawasan di Lahad Datu adalah perkara biasa yang dijalankam pihak berkuasa pada waktu ini.

“Polis mengadakan sekatan itu perkara biasa. Mungkin lebih kepada Lahad Datu, mungkin tapi terpulang kepada pihak polis,” kata beliau.

Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Lahad Datu dalam kenyataan semalam memaklumkan sekatan jalan raya di beberapa kawasan dilakukan ekoran Kluster Benteng yang menular baru-baru ini. -MalaysiaGazette