Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga calon Warisan N.65 Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap pada Majlis Bersama Rakyat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Hakka Hall, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shafie Apdal mendakwa Tan Sri Musa Aman akan mengawal Datuk Hajiji Mohd Noor sekiranya calon Perikatan Nasional (PN) DUN Sulaman itu menjadi Ketua Menteri.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ketika menyampaikan ucapan di Majlis Bersama Rakyat, malam tadi.

Walau bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai dakwaannya itu.

“Kalau tidak undi Christina, Hajiji akan jadi Ketua Menteri. Hajiji akan dikawal Musa Aman, jangan lupa,” katanya.

Datuk Christina Liew adalah Pengerusi PKR Sabah, juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa Hajiji akan menjadi calon Ketua Menteri Sabah.

Dalam ceramahnya, Shafie berkata, pihak-pihak tertentu tidak sepatutnya mempersoalkan apa yang dilakukan olehnya sebagai Ketua Menteri selama lebih kurang dua tahun, sebaliknya mempertikaikan apa yang telah Musa lakukan untuk Sabah sebelum ini.

Beliau mendedahkan Musa pernah membuat pinjaman RM1 bilion daripada Kerajaan Negeri Sabah ketika Ketua Menteri.

“Orang tanya apa saya buat? Jangan tanya apa saya buat, tanya si Musa Aman apa dia buat?

“Bila saya jadi Ketua Menteri, bila saya tengok Musa Aman pinjam duit RM1 bilion,

“Macam mana Najib tahu saya tidak pandai mengurus? Dia tidak tahu berapa rizab yang saya simpan, kita (Sabah) bukan defisit, simpan duit,” katanya.

Shafie mendakwa sejak mengambil tampuk pentadbiran Sabah dua tahun yang lalu, kerajaannya tidak lagi mengeksport balak.

“Kayu balak pun kita tidak eksport. Masa kita baru sahaja ambil alih kerajaan, hampir setiap hari gajah mati, gajah keluar dari hutan sebab tidak ada makanan, habis kayu balak ditebang untuk dieksport, sekarang hanya kadang-kadang,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast