Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan ke atas kanak-kanak bagi membendung wabak Covid - 19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pangsapuri Segar Ria, Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 JUN 2020

PANDEMIK Covid-19 yang diakibatkan oleh jangkitan virus SARS CoV-2 sememangnya
memberikan kesan yang amat mendalam kepada banyak negara di seluruh dunia. Ekonomi dunia lumpuh dan dijangkakan proses pemulihan akan mengambil masa yang agak lama. Setakat ini (September 2020), data Universiti Johns Hopkins melaporkan hampir 30 juta orang seluruh dunia telah dijangkiti dengan virus ini, dan kadar kematian hampir mencecah 1 juta orang. Kesannya juga tentunya dirasai di negara kita,  terutamanya sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.

Perniagaan banyak yang terjejas, para pekerja ada yang terpaksa diberhentikan. Sekolah-sekolah dan universiti-universiti ditutup, menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran. Kesihatan mental rakyat turut terkesan, terutamanya pesakit-pesakit COVID-19 dan saudara mara terdekat mereka, dan seluruh rakyat Malaysia yang terpaksa berkurung di rumah selama berbulan-bulan lamanya.

Sempadan-sempadan negara juga ditutup, menjejaskan industri pelancongan, dan
mengganggu rutin golongan-golongan yang sentiasa merentas sempadan seperti rakyat
Malaysia yang bekerja dan belajar di Singapura, dan pelajar-pelajar kita di luar negara.
Keadaan dilihat secara perlahan-lahan kembali pulih, terutamanya dengan pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga hujung tahun ini. Namun,
semuanya sudah tidak seperti biasa lagi. Kita harus menjalani hidup dengan norma-norma baharu, dengan meneruskan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat yang sesak, melaksanakan penjarakan fizikal, dan mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Namun, di sebalik semua kesukaran dan cabaran ini, pada pandangan peribadi penulis,
terdapat satu perkembangan positif: iaitu peningkatan mendadak kesedaran dan minat
sains dalam kalangan masyarakat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan peringkat
umur. Tidak dapat dinafikan bahawa selepas beberapa bulan wabak ini melanda,
masyarakat kita kini lebih celik sains, terutamanya berkaitan penyakit berjangkit, kesihatan awam, dan biologi molekul perubatan. Masyarakat negara ini secara amnya memahami kepentingan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, dan penjagaan kebersihan diri dengan membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dengan betul. Kita tahu bahawa jika kita tidak bersatu dalam mengamalkan semua langkah-langkah ini, lengkok jangkitan tidak akan dapat diratakan, dan kita semua berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19.

Kenapa rakyat kita secara relatifnya mudah untuk mengikuti segala saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ini? Kerana kita yakin bahawa membasuh tangan dengan sabun, atau cecair pembasmi kuman, dapat menyahaktifkan virus ini. Kemudian kita bertanya pula bagaimana sabun, yang kita gunakan sehari-hari, dapat menyahaktifkan virus yang telah menjangkiti berjuta-
juta orang ini? Ramai pakar mengatakan, jika digunakan dengan betul, mencuci tangan
dengan sabun sahaja adalah lebih berkesan daripada bahan-bahan pembasmi kuman yang lain dalam mencegah penularan wabak Covid-19. Melalui pembacaan, kita dapati secara mudahnya, sabun bertindak dengan melarutkan lapisan membran lipid (lemak) yang menyaluti virus ini. Dengan kehilangan lapisan membran ini, kandungan-kandungan penting dalaman virus tidak dapat berfungsi, dan seterusnya menyahaktifkan virus ini sehinggakan tidak dapat menjangkiti sel manusia. Sukatan pelajaran mengenai membran lipid sel ada di dalam kursus Biologi Sel dan Molekul, iaitu kursus tahun pertama yang penulis ajar kepada pelajar program Sarjana Muda Sains (Biologi) di universiti. Kini masyarakat umum juga tahu tentang membran dan lipid!

Penulis jangka antara perkara pertama bermain di fikiran kita adalah kenapa virus ini
dinamakan “korona”-virus. Kini, hampir semua orang tahu bahawa koronavirus dinamakan sedemikian kerana terdapatnya protein pepaku (spike protein)  pada permukaan partikel virus ini, menyebabkan ia menyerupai mahkota atau korona pada permukaan matahari. Penulis juga jangka kita semua sudah kenal benar dengan virus ini apabila melihat gambar strukturnya sahaja, iaitu ilustrasi yang dihasilkan berdasarkan imej s ebenar koronavirus yang diambil menggunakan mikroskop elektron.

Ilustrasi menunjukkan morfologi koronavirus, dengan protein pepaku jelas kelihatan di permukaan virus ini, memberikan nama “korona” kepada koronavirus. Mutasi D614G merubah struktur protein pepaku ini dan meningkatkan kebolehjangkitan virus SARS CoV-2. Sumber: Centers for Disease Control and Prevention (CDC).

Kita juga tentu ingat ketika pandemik ini berada pada tahap tertinggi kebolehjangkitan,
setiap hari kita ternanti-nanti sidang media oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Berdebar-debar mendengar jumlah jangkitan baru, dan jumlah kematian untuk hari tersebut. Kita juga sentiasa ternanti-nanti pengumuman bahawa sama ada penjarakan fizikal yang disarankan berkesan, ataupun virus ini adalah disebarkan melalui udara (airborne) yang boleh tersebar pada jarak yang lebih jauh dan kekal di udara untuk jangka masa yang lebih lama. Jadi kita mula mencari maklumat berkaitan epidemiologi, iaitu kajian berkenaan pola penyebaran penyakit. Kita kini tahu beza di antara penyakit bawaan udara (penyebaran melalui aerosol dan terampai di udara untuk jangka masa panjang dan jarak yang jauh) atau penyebaran melalui sentuhan dan droplet pernafasan (iaitu bukan bawaan udara). Mod-mod penyebaran virus SARS CoV-2 sehingga kini masih dalam kajian terperinci. Antara istilah lain yang menarik perhatian kita ketika mendengar sidang media Tan Sri Dr. Noor Hisham adalah “kadar kebolehjangkitan” ataupun R 0 (disebut R “naught”).

R 0 merupakan istilah matematik yang merujuk kepada purata jangkitan baru daripada
seorang pembawa penyakit tersebut. Maksudnya jika R 0 > 1, setiap jangkitan sedia ada menyebabkan lebih daripada satu jangkitan baru; jika R 0 = 1, hanya satu jangkitan baru daripada jangkitan sedia ada; dan jika R 0 < 1, terdapat kurang daripada satu jangkitan baru untuk setiap jangkitan sedia ada. Kita semua berdoa setiap hari supaya R 0 ini turun kepada kurang daripada satu, dengan harapan wabak ini berkurangan dan seterusnya tamat. Kita kini sedang teliti mendengar perkembangan terbaru kajian biologi molekul virus ini, di luar negara atau dalam negara kita sendiri. Antara yang menjadi tumpuan kini adalah kajian penjujukan asid nukleik. Jujukan asid nukleik ini dapat memberikan maklumat penyebaran SARS CoV-2 dari satu negara ke negara yang lain melalui kajian filogenetik, dan mengenalpasti mutasi-mutasi yang muncul daripada jangkitan-jangkitan baru.

Pengesanan mutasi ini adalah penting, untuk mengetahui sama ada ianya akan menghasilkan virus dengan kebolehjangkitan yang lebih tinggi. Antara mutan virus yang menjadi perbualan ketika ini adalah D614G, yang mengubah asid amino asid aspartik (atau ringkasnya D) pada kedudukan ke-614 (daripada lebih kurang 1,300 asid amino yang membina struktur protein pada permukaan koronavirus ini) ke asid amino glisina (G). Mutasi ini meningkatkan kadar kebolehjangkitan SARS CoV-2 sehingga sepuluh kali lebih tinggi, dan ianya juga telah dikesan di Malaysia. Siapa tahu mutasi apa pula yang akan muncul selepas ini. Topik-topik seperti penjujukan asid nukleik, asid amino, dan mutasi sebelum ini hanya menjadi topik perbincangan dalam kalangan penyelidik dalam bidang biologi sahaja. Namun kini, masyarakat kita telah terdedah kepada konsep-konsep saintifik ini dan faham akan kepentingannya kepada kehidupan seharian.

Selain daripada bagaimana virus ini menjangkiti manusia, kita tentunya ingin tahu tentang bagaimana pengesanan virus ini dilakukan, dan bagaimana pula kita melawannya. Kita tentunya kini sudah biasa dengan istilah-istilah seperti ujian RT-PCR, ujian antigen, dan ujian antibodi. RT-PCR merupakan antara kaedah pengesanan SARS CoV-2 yang meluas digunakan di Malaysia. Ujian ini menggunakan teknik “real-time reverse-transcriptase (RT)-polymerase chain reaction” (PCR), yang mengesan kehadiran molekul asid nukleik daripada virus tersebut di dalam sampel yang dianalisa. Walaupun mempunyai ketepatan yang tinggi, ujian ini biasanya mengambil masa beberapa hari, dan kita tertunggu-tunggu kit yang berasaskan antigen yang mengambil masa beberapa jam sahaja (kit ujian pantas). Kit ujian pantas ini membolehkan lebih banyak ujian saringan Covid-19 dibuat, terutamanya terhadap kumpulan-kumpulan yang berisiko tinggi. Ramai juga antara kita yang telah menjalani ujian saringan ini secara sukarela di klinik-klinik dan hospital swasta. Dan tentunya yang sedang menjadi topik perbualan hangat rakyat Malaysia sekarang adalah bilakah vaksin Covid-19 akan ditemui dan dapat diakses oleh semua. Ini semua meningkatkan tahap kesedaran sains dalam kalangan masyarakat negara ini.

Pandemik ini sudah tentunya akan merubah cara hidup kita selepas ini. Penulis berharap
minat masyarakat untuk membaca dan mendalami ilmu-ilmu sains akan terus meningkat,
tidak hanya terhad kepada sains bioperubatan sahaja. Sebelum pandemik bermula, kami
ahli-ahli sains bimbang melihat semakin kurangnya minat pelajar terhadap kursus-kursus
sains asas seperti kimia, biologi, dan fizik. Negara kita sebenarnya masih memerlukan para saintis pelapis, bagi menyahut seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin baru-baru ini untuk melihat pemenang Hadiah Nobel dari kalangan anak
tempatan. Para saintis ini sebenarnya amat diperlukan untuk membangunkan negara
dengan bidang kepakaran masing-masing, dan bersama-sama negara mengharungi zaman yang serba mencabar ini.

Penulis menyeru para pembaca untuk memupuk minat anak-anak terhadap sains sejak kecil lagi. Badan-badan berasaskan sains seperti Akademi Sains Malaysia melalui Young Scientists Network-Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM), Institut Kimia Malaysia (IKM), dan American Chemical Society sains yang menyeronokkan yang diharap dapat menarik minat anak-anak kita. Mungkin sebelum ini faktor masa yang terhad dan lokasi yang jauh mengehadkan lebih ramai anak muda seluruh negara untuk menghadiri acara-acara besar seperti Kuala Lumpur Engineering Science Fair (KLESF) dan Penang International Science Fair (PISF). Namun dengan norma baharu ketika pandemik ini, banyak aktiviti seumpama ini diadakan secara atas-talian sahaja. Carilah laman-laman sesawang dan media sosial badan-badan ini untuk mengetahui tentang aktiviti-aktiviti yang sedang berlangsung. Apa yang diperlukan hanyalah komputer riba atau telefon pintar, dan capaian internet.

Dr. Mohd Firdaus Abdul Wahab
Pensyarah Kanan,
Jabatan Biosains, Fakulti Sains,
Universiti Teknologi Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast