Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah bercakap pada sidang media selepas Pelancaran Program "We Love, We Serve, We Hope" di Dewan Pusat Komuniti Gombak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2020

GOMBAK – “Mana-mana agensi penguatkuasa pun tidak akan berkompromi mengenai petualang dalam agensi. Ia memang tindakan baik”.

Demikian kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah ketika mengulas mengenai tangkapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi terhadap dua anggota Balai Polis Kuah, kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah di pulau peranginan itu, baru-baru ini.

Bagaimanapun Zulkifli berkata, masalah dadah tidak boleh dilihat daripada satu perspektif agensi atau dituding terhadap pihak tertentu sahaja sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh.

“Pada saya itu (petualang dalam agensi) bukanlah faktor utama menyebabkan kegagalan masalah anti dadah. Yang jadi gagal adalah kurang kerjasama daripada semua pihak sebab masalah ini perlu dilihat secara menyeluruh khususnya kepada permintaan dan pembekalan dadah.

“Semua fasa perlu dilihat daripada anak kecil dengan keluarga, peringkat sekolah, universiti, tempat kerja dan jika penagih yang sudah pulih pula bagaimana dengan stigma masyarakat. Perkara sebegini perlu dilihat dengan serius.

“Tetapi sudah tentunyalah kalau kita boleh bersihkan semua masalah dalaman membabitkan petualang, itu akan memberikan hasil yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program We Love, We Serve, We Hope di sini.

Menurut Zulkifli, Langkawi di Kedah adalah antara empat daerah di negara ini diletakkan sebagai berstatus merah dalam kawasan berisiko tinggi (KBT) penyalahgunaan dadah di bawah model projek rintis AADK sejak tahun lalu.

Selain Langkawi, katanya, Petaling Jaya Selatan di Selangor, Kuala Dungun di Terengganu dan Pengkalan Chepa di Kelantan masih dalam zon merah yang mana pihaknya akan memberi perhatian hingga akhir tahun ini bagi membasmi sepenuhnya aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Di Langkawi memang ada isu. Contohnya beberapa penempatan seperti Bukit Malut, Taman Nilam, Pulau Tuba…ini semua kawasan yang agak sukar iaitu penempatan yang sempit dan sebagainya.

“Jadi, memberi ruang untuk sindiket dadah memasuki membawa dadah dari laut dan sebagainya.

“Pegawai daerah di sana sebagai penyelaras projek rintis AADK sedang mengaturkan beberapa tindakan. Tetapi barau-baru ini berlaku lagi masalah Covid-19 di Kedah jadi ada sedikit gangguan.

“Tetapi saya percaya, pegawai daerah bersama dengan agensi penguatkuasa di sana akan meneruskan dengan tindakan tertentu.

“Namun sebagaimana yang saya sebut tadi, tidak boleh dilihat dalam aspek nak menguatkuasa sahaja. Semua kena mainkan peranan termasuklah dalam aspek nak mendidik.

“Macam di Langkawi, ramai anak kecil yang tidak pergi bersekolah dari peringkat rendah. Jadi apabila tidak pergi sekolah, ia menyumbang kepada masalah sosial.

“Perlu ada agensi berkaitan yang menangani masalah tidak hadir sekolah dan sebagainya.Semua ada tanggungjawab.

“Jadi dalam semangat rintis AADK inilah yang kita nakkan pembabitan pelbagai agensi an saya percaya nanti barulah boleh mendapat satu penyelesaian yang lebih menyeluruh,” ujarnya.

Masalah dadah di Langkawi juga berkait dengan kedudukan pulau itu dan Zulkifli menjelaskan kemasukan dadah bukan sahaja melalui jalan sah malah, kemungkinan dibawa menerusi jalan haram termasuk bot asing yang singgah selain bot nelayan tempatan.

“Itu sebab Langkawi lebih mencabar. Kita akan cuba lagi, sekurang-kurangnya jika tak bertukar status hijau, ia akan menjadi status kuning. Gabungan semua agensi akan diperhebatkan supaya masalah dadah ini dapat ditangani dengan baik,” tambah beliau. – MalaysiaGazette