Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal sudi mencemar duli bertemu Nur Khairunnisa Mohd. Yuhasli di Istana Negara, hari ini. Foto: House of Pahang

KUALA LUMPUR- Hajatnya cuma mahu menyerahkan hadiah kecil sempena ulangtahun keputeraan putera idolanya.

Namun siapa menyangka, beliau pula menerima “hadiah paling istimewa” apabila Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudi mencemar duli untuk bertemu dengannya.

Menurut Nur Khairunnisa Mohd. Yuhasli, 16, beliau hanya berhajat untuk menyerahkan hadiah tersebut di perkarangan Istana Negara sahaja bagaimanapun, tidak sama sekali menyangka Tengku Mahkota Pahang sudi menerimanya sendiri.

Tengku Hassanal yang berangkat ke perkarangan Istana Negara dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam sempat menyantuni pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Permai dan keluarganya itu.

Tengku Hassanal sempat menyantuni Nur Khairunnisa Mohd. Yuhasli dan keluarganya. Foto: House of Pahang

Berdasarkan klip video yang dikongsi di media-media sosial, gadis tersebut memberitahu Tengku Hassanal bahawa baginda adalah idola beliau.

Bagaimanapun, baginda yang mewarisi sifat merendah diri dan lemah lembut daripada ibu bapanya meminta Nur Khairunnisa menjadikan Allah dan Rasulullah sebagai idola.

Tuanku Hassanal menyambut hari keputeraannya yang ke-25 dua hari lalu.- MalaysiaGazette