Datuk Dr Dominic Lau
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai. foto HAZROL ZAINAL, 20 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai landskap politik norma baharu susulan tercipta sejarah tersendiri dengan melibatkan pertandingan pelbagai penjuru bagi kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, seramai 447 calon termasuk 56 calon Bebas bertanding dengan nisbah satu kerusi 6.6 peratus calon.

“Itu suatu norma baharu dalam landskap politik Malaysia dan ini sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan, di sini, hari ini.

Pada PRU14, seramai 252 calon bersaing untuk 60 kerusi DUN Sabah dengan jumlah persaingan hanya melibatkan tiga hingga enam penjuru sahaja.

Bagaimanapun, PRN Sabah kali ini menyaksikan 391 calon daripada 16 parti dan 56 calon Bebas bertanding merebut 73 kerusi DUN termasuk 13 kerusi baharu yang diwartakan tahun lalu.

Ditanya mengenai perkembangan hasrat Gerakan menyertai gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), Lau menjawab ringkas: “Tunggu untuk pengumuman.”

Media sebelum ini melaporkan bahawa Gerakan telah menyatakan hasrat tersebut kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah dipersetujui semua ahli jawatankuasa pusat parti itu, Mei lalu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast