PETALING JAYA – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diminta mengembalikan semula lebihan dana RM55 juta yang disalurkan kepada Youth Power Club (YPC) semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, Zulhelmi Mansor berkata, ia bagi memastikan dana awam pembayar cukai itu tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan pemilihan sayap Bersatu, bulan lepas.
“Jika ada peruntukan lebihan daripada RM55 juta yang diperuntukkan kepada YPC, kita minta Syed Saddiq kembalikan semula kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu, Zulhelmi membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq dan Bendahari Armada, Raziq Hakimi Razali berhubung penularan surat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk kegunaan YPC.
Jumaat lalu, ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii mempersoalkan kedudukan dana sebanyak RM50 juta yang telah diperuntukkan kepada Syed Saddiq semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan untuk membangunkan 222 Youth Power Club (YPC) di seluruh negara.
Walaupun banyak kes membabitkan Syed Saddiq melibatkan jutaan ringgit, namun Kerajaan PN dilihat sangat lemah mengambil tindakan undang-undang.
Ini memberi gambaran seolah-olah Syed Saddiq kebal dengan tindakan undang-undang dan dilindungi oleh individu tertentu sebagai balasan sokongan Ahli Parlimen Muar itu kepada Perdana Menteri hari ini.
Zulhelmi turut mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang isu penyalahgunaan dana awam dengan serius jika tidak mahu kerajaan pimpinan dilihat cuba melindungi ahli Parlimen Muar itu.
“Saya khuatir adakah kerajaan hari ini di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba melindungi kumpulan-kumpulan tertentu, kita tidak mahu.
“Kita tidak mahu dilihat seperti kerajaan sebelum ini Kerajaan PH dengan pelbagai isu, kita tidak mahu.
“Sebab itu kita mahu isu ini segera disiasat ditunjuk jalan keluar untuk kita tahu keputusan,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan bekas Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali adalah kambing hitam dalam isu kehilangan wang tunai RM250,000 di rumah Syed Saddiq.
“Ketika itu beliau (Rafiq) dilantik sebagai Pengerusi YPC, yang mana ini adalah satu agenda PH ketika itu untuk menyalurkan dana kepada pertubuhan belia itu.
“Kita pun tertanya-tanya ketika itu pun sudah ada NGO-NGO belia seperti Belia 4B dan Majlis Belia Malaysia.
“Kenapa diwujudkan lagi YPC di bawah Syed Saddiq selaku Menteri Belia dan Sukan ketika itu.
“Adakah untuk menafikan peranan-peranan NGO belia ini atau adakah ini berunsurkan politik untuk salurkan dana politik kepada NGO baru YPC ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette