KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengkaji semula laluan kenderaan di semua projek yang dalam pembinaan dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.
Saranan dari Pergerakan Wirawati Putra Malaysia itu dibuat berikutan kemalangan yang menimpa seorang pengguna jalan raya di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Ampang Sabtu lalu, merisaukan keselamatan jutaan pengguna.
Ketuanya, Dr. Asmah Razalli berkata, walaupun dalam kejadian itu, pemandu kenderaan berkenaan hanya cedera ringan tetapi kerajaan tidak boleh menganggapnya kecil dan membiarkan projek binaan tinggi diteruskan tanpa mengambil langkah keselamatan yang ketat.
“Tetapi, apakah nasib pengguna jalan raya lain jika maut menimpa mereka akibat kecuaian kontraktor? Tidak dinafikan, lebih separuh dari bandar raya Kuala Lumpur ini dipenuhi dengan kerja pembinaan projek tinggi dan jutaan kenderaan melalui di bawahnya setiap hari.
“Ini mendedahkan pengguna jalan raya kepada risiko dan bahaya akibat projek yang sedang dalam pembinaan ini dilakukan tanpa menitikberatkan ciri keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, seorang seorang wanita mengalami kecederaan di tangan selepas kepingan konkrit pembinaan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) terjatuh dan menghempap kereta dipandunya.
Jurucakap Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur memaklumkan, insiden berlaku di MRR2 menghala ke Ampang pada kira-kira jam 4.30 petang.
Kepingan konkrit yang dianggarkan sebesar satu meter persegi itu menghempap kereta jenis Proton Saga FLX yang dipandu wanita berkenaan.
Menurut Dr. Asmah, kerajaan dan agensi terlibat perlu melakukan pemantauan lebih ketat serta efektif dalam setiap operasi untuk memastikan semua kontraktor terlibat tidak mengabaikan aspek keselamatan, yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Kerajaan juga diminta memantau kontraktor ini dengan memastikan mereka mengambil pekerja di kalangan warga asing yang terlatih dan diberi latihan keselamatan secukupnya.
“Risiko kemalangan jiwa di jalan raya melibatkan tapak projek naik taraf ini amat tinggi jika sistem keselamatan projek mega ini pincang,” katanya yang turut menggesa kerajaan melakukan siasatan bersama dengan syarikat bertanggunjawab. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Wanita cedera di tangan akibat kepingan konkrit jatuh menghempap kereta