Beginilah keadaan kereta yang dihempap struktur konkrit ketika melalui kawasan projek pembinaan SUKE di Jalan Lingkaran Tengah 2, berhampiran Terminal Bas Bersepadu pada 19 September lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita mengalami kecederaan di tangan selepas kepingan konkrit pembinaan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), terjatuh dan menghempap kenderaannya.

Jurucakap Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur memaklumkan, insiden berlaku di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Ampang pukul 4.30 petang tadi.

Menurut jurucakap tersebut, kepingan konkrit yang dianggarkan sebesar satu meter persegi itu menghempap kereta jenis Proton saga jenis FLX yang dipandu wanita berkenaan.

“Akibat kejadian itu berlaku gangguan lalu lintas ekoran kenderaan yang melalui jalan terbabit terpaksa bergerak perlahan hingga ke arah Lebuh Raya Kesas ekoran jalan di lokasi di tutup satu lorong,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah jurucakap itu lagi, kerja-kerja bagi mengalihkan konkrit yang menghempap kenderaan berkenaan mengambil masa selama dua jam.

Wanita terbabit dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut dan tidak ada mangsa atau kenderaan lain terlubat dalam kejadian terbabit. – MalaysiaGazette