Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)

KUALA LUMPUR – Sehingga 11 September lalu, sebanyak RM1.85 juta Pembiayaan Mudah Bumiputera oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah disalurkan dan memanfaatkan lapan perniagaan milik Bumiputera.

Pembiayaan dengan peruntukan sebanyak RM200 juta itu disediakan kerajaan bagi memastikan kelangsungan usahawan Bumiputera dalam menghadapi situasi sukar ekoran pandemik Covid-19, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Bantuan tersebut bertujuan menyediakan modal kerja, perbelanjaan operasi, automasi sistem, peralatan dan perbelanjaan untuk melaksanakan amalan penjarakan sosial seperti alat perlindungan diri dan kemudahan pembiayaan sebanyak RM100,000 sehingga RM1 juta bagi tempoh sehingga lima tahun pada kadar faedah 3.5% setahun beserta moratorium sehingga enam bulan dari tarikh pengeluaran.

Sementara itu, peniaga Bumiputera juga diberi Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) oleh MARA dengan peruntukan berjumlah RM300 juta yang berupa pinjaman modal kerja untuk membantu usahawan Bumiputera yang terjejas.

Bantuan ini termasuk di kolej latihan dengan had maksimum jumlah pinjaman adalah RM1 juta dengan kadar faedah 3.5% setahun. – MalaysiaGazette