Gambar hiasan

PENINGKATAN kes Covid-19 di negara kita akhir-akhir ini sangat membimbangkan. Walaupun pihak Kementerian Kesihatan tidak henti-henti menasihatkan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan pada setiap masa, orang awam dilihat sudah mula mengabaikan nasihat tersebut. Tambahan pula, premis-premis sudah mula memberi kelonggaran kepada pelanggan untuk masuk tanpa memeriksa suhu dan mencuci tangan. Garisan-garisan yang diletakkan di lantai untuk memastikan penjarakan fizikal juga sudah mula pudar atau hilang. amun, para penyelidik pula masih bertungkus lumus untuk mencari penyelesaian kepada pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan hampir satu juta kematian di seluruh dunia.

Bermula seawal Mac 2020, beberapa artikel telah diterbitkan oleh jurnal-jurnal antarabangsa berkenaan saranan untuk berkumur dengan cecair antiseptik. Saranan tersebut berasaskan kajian-kajian klinikal yang banyak dilakukan di negara Jepun yang menunjukkan berkumur boleh mencegah jangkitan pernafasan, terutamanya influenza. Ia juga berasaskan kepada kajian makmal yang membuktikan bahawa cecair kumur  antiseptik terutamanya yang mengandungi povidon iodin mampu membunuh virus influenza serta virus corona yang menyebabkan penyakit SARS dan MERS. Rasionalnya, virus memasuki badan melalui hidung, mulut dan mata. Virus akan melekat pada reseptor yang berada di sekitar tekak serta hidung, dan kemudiannya membiak. Berkumur selepas terdedah kepada persekitaran berisiko membolehkan virus disingkirkan sebelum membiak atau merebak ke tempat lain.

Rentetan daripada itu, pakar-pakar bidang pergigian dan otorinolaringologi memberi saranan kepada petugas kesihatan untuk mengamalkan berkumur. Para petugas kesihatan adalah yang paling berisiko medapat Covid-19 kerana mereka berdepan dengan ramai orang setiap masa. Petugas-petugas di bahagian pergigian mempunyai risiko lebih tinggi kerana mereka perlu mengendalikan bahagian mulut dan gigi pesakit. Justeru, disarankan supaya pesakit berkumur dengan 1% hydrogen peroksida atau povidone iodin sebelum diperiksa oleh doktor. Doktor dan petugas pula dinasihatkan untuk berkumur selepas berjumpa pesakit. Amalan ini juga telah mula dilakukan di klinik-klinik pergigian kerajaan dan juga swasta di Malaysia. Beberapa kajian makmal telah dijalankan bertujuan untuk melihat kebolehan cecair kumur antiseptik untuk membunuh virus SARS-CoV-2. Kajian awal di sebuah makmal di Malaysia mendapati bahawa cecair kumur antiseptik yang mengandungi povidone-iodine membunuh virus tersebut selepas 30 saat.

Kajian-kajian yang lebih meluas dijalankan di luar negara mendapati bahawa cecair kumur yang mengandungi dequalinium chloride, benzalkonium chloride, povidone iodin, ethanol, hidrogen peroksida dan essential oils dapat membunuh virus penyebab Covid-19 selepas dibiarkan selama 15 hingga 30 saat.
Menurut clinicaltrial.gov sebuah laman yang mengumpulkan kajian klinikal daripada seluruh dunia, terdapat 7 projek berkaitan berkumur di kalangan pesakit Covid-19 telah didaftarkan. Setakat ini, projek rintis yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan satu-satunya projek yang telah tamat. Projek rintis tersebut mendapati bahawa hampir kesemua pesakit Covid-19 yang diberikan cecair kumur antiseptik (3 kali sehari) mengalami ‘viral clearance’ seawal hari ke 5 selepas dimasukkan ke wad.

Berdasarkan kepada laporan-laporan kajian makmal, kajian rintis klinikal dan amalan berkumur dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit, adalah sangat wajar untuk menyarankan kaedah berkumur kepada orang ramai bagi mencegah penularan
Covid-19. Berkumur perlu dilakukan dengan betul iaitu dengan mendongakkan kepala supaya cecair kumur sampai ke anak tekak. Biarkan cecair kumur berada di tekak selama kira-kira 30 saat, kemudian berpindah ke rongga mulut sebelum diludah ke dalam sink. Orang ramai dinasihatkan untuk berkumur menggunakan cecair kumur antiseptik yang boleh dibeli di farmasi-farmasi selepas berada di kawasan yang sesak. Contohnya sebaik pulang daripada pasar, kenduri kahwin dan kempen pilihan raya.

Bagi penduduk Sabah yang terlibat dengan kempen pilihanraya dan juga yang akan keluar mengundi Sabtu ini, jaga diri anda dan keluarga. Berada di tempat sesak semasa berkempen dan membuang undi meningkatkan risiko penyebaran Covid-19. Jauhkan diri anda daripada individu yang bercakap atau menjerit-jerit sambil berkempen kerana mereka juga berisiko menyebarkan virus. Kerap basuh tangan, kekalkan penjarakan social, pakai pelitup muka dan berkumur apabila pulang ke rumah.

Oleh: Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed &
Prof Che Ilina Che Isahak
Pakar Mikrobiologi Klinikal
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia