Gambar hiasan.

RIYADH – Penggantungan sementara ibadah umrah dan ziarah ke dua buah masjid, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, akan dilonggarkan secara berperingkat, kata Menteri Haji dan Umrah, Saleh Benten.

“Penyambungan semula umrah dan ziarah secara berperingkat bergantung kepada penyelesaian teknikal yang membolehkan perkhidmatan umrah yang disediakan oleh syarikat dan pertubuhan untuk menambah baik perkhidmatan mereka dan memasarkan perkhidmatan mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya seperti di petik akhbar, Saudi Gazette.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada forum maya mengenai memperkayakan pengalaman jemaah umrah.

Benten berkata, terdapat lebih 30 buah syarikat tempatan dan antarabangsa yang mampu mengendalikan peruntukan perkhidmatan untuk jemaah menerusi laluan elektronik yang membolehkan penyedia perkhidmatan mengambil langkah susulan ketika menyediakan perkhidmatan.

Beliau berkata, penggabungan syarikat dan pertubuhan umrah akan memperkukuhkan lagi entiti itu bagi membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi untuk 16 juta jemaah umrah tempatan dan antarabangsa setiap tahun.

Kad pintar baru akan dikeluarkan untuk syarikat terbabit semasa tempoh peralihan dan ia akan digunakan untuk kali pertama kepada mereka yang menziarahi Masjid Nabawi.

“Kami berhasrat untuk memberi perkhidmatan kepada 30 juta orang jemaah setiap tahun sehingga tahun 2030,” tambah beliau.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Abdul Fattah Mashat berkata, penggabungan dan pemilikan dalam sektor umrah akan mengurangkan kos operasi dan menyumbang kepada peningkatan keberkesanan operasi dan kepelbagaian perkhidmatan kerana kenaikan dalam kapasiti aset dan kewangan.

“Sistem umrah dan haji tidak dihadkan kepada penyediaan perkhidamatan asas kepada jemaah, kerana terdapat perkhidmatan komprehensif yang boleh disediakan oleh sektor swasta seperti perkhidmatan sokongan dan logistik, yang akan memainkan peranan utama dalam mencapai matlamat visi 2030,” katanya – MalasyiaGazette