Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin bergambar bersama Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim (kiri) dan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Sabah, Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan (kanan) selepas sidang media khas mengenai status calon-calon Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bertindih kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Shangrila Tanjung Aru, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan pertindihan kerusi di dua Dewan Undangan Negeri di antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) selesai selepas kedua-dua calon bersoladitri menyokong antara satu sama lain.

Solidarti ini menyaksikan calon PBS di Dewan Undangan negeri (DUN) Tambunan dan Bingkor akan menghentikan kempen dan menyokong calon STAR.

Menurut Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dua calon bebas yang dilihat ‘mesra’ STAR sebelum ini di DUN Api Api dan Bengkoka iaitu Marcel Hyde dan Silverius Bruno turut mengumumkan bersolidariti menyokong calon Perikatan Nasional (BN) yang diwakili oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Dalam mana kita nak mengalahkan Warisan sudah tentulah kita memerlukan kemenangan yang besar, dalam perbincangan yang kita lakukan dalam beberapa hari ini empat kawasan kita telah kenal pasti iaitu Tambunan kita minta satu calon PN sahaja iaitu Datuk Jeffrey Kitingan maka PBS tarik diri, kawasan satu lagi Bingkor. Bengkoka dan Api Api. Empat kawasan ini tidak ada pertembungan di antara STAR dan PBS lagi.

“Ini akan memberikan lebih peluang untuk calon-calon kita menang dalam PRN Sabah. Saya mengucapkan terima kasih kepada pengorbanan yang diberikan kepada kita terutama calon-calon yang menarik diri untuk memastikan mereka menarik diri tidak langsung kita melakukan ugutan atau sebagainya mereka rela. Seperti mereka tandatangan SD (Akuan Bersumpah),” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Setiausaha Agung PBS, Jahid Jahim dan Jeffrey memeterai kerjasama solidariti menerusi Akuan Bersumpah (SD).

Menurut Hamzah, PN sedang mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan empat lagi kerusi yang bertindih.

Ditemui pada sidang media yang sama, Jeffrey tidak menolak perkembangan terbaharu itu akan memberi impak positif kepada penyokong STAR.

“Dengan adanya persetujuan untuk bekerjasama ini di beberapa kawasan saya yakin ia akan memberi impak besar kepada kawasan-kawasan yang lain memberi makluman kepada penduduk penyokong supaya mengubahsuai kempen mereka supaya bersatu menyokong calon-calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” menurutnya.

Jahid pula menyifatkan pengorbanan partinya untuk melepaskan dua DUN adalah demi perjuangan menjatuhkan kerajaan Warisan. – MalaysiaGazette