Snuker atau juga dikenali sebagai meja Billiards merupakan antara sukan yang popular di seluruh dunia.
Maka tidak hairanlah di seluruh pelosok negara pasti terdapat kedai-kedai snuker yang menjadi tumpuan anak muda mahupun golongan yang berusia mengisi masa lapang bermain permainan tersebut.
Di Pekan Beaufort yang jaraknya kira-kira 80 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah terletak sebuah kedai snuker tradisional berusia hampir 70 tahun dan telah beroperasi sejak zaman British dahulu.
Menurut pengurus kedai snuker itu yang dikenali sebagai Tumam, reka bentuk dalaman premis berkenaan tidak pernah diubah suai dan binaan papannya masih lagi utuh.
Melangkah masuk ke dalam kedai itu menyaksikan golongan tua dan pertengahan umur asyik bermain snuker bersama teman-teman sambil berbual kosong.
Apa yang pasti, reka bentuk asal kedai tersebut pasti membuatkan pengunjung berasa teruja kerana ia menampilkan suasana yang begitu berbeza dengan pusat snuker moden di bandar-bandar.