Muhyiddin Yassin

KOTA KINABALU – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak berniat menjajah Sabah, sebaliknya mahu membantu negeri itu membangun.

Kata Perdana Menteri, kerajaan persekutuan mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang memajukan negeri di bawah bayu itu.

Justeru itu kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Gagasan Rakyat Sabah (GRS) perlu  memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) tersebut, ujar beliau.

“Jangan salah anggap saya datang sini, saya orang Kuala Lumpur mahu jajah bila saya mahu jajah Sabah? Ini muka pun bukan muka penjajah. Kita nak bantu, untuk bangunkan Sabah. Saya pernah sebutkan, saya ulang, Sabah mempunyai kekayaan yang kita bangunkan.

“Mungkin sekarang kerajaan negeri Sabah katakan tidak perlu kerajaan persekutuan boleh lakukan seorang diri. Tapi tetap memerlukan kerajaan persekutuan untuk membangun dengan pantas,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee; calon Perikatan Nasional (PN) DUN Luyang, Gee Tien Siong dan Calon MCA di DUN Likas, Dr. Chang Kee Ying.

Walaupun kerajaan negeri Sabah yang dipimpin Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal kini mengambil keputusan menentang kerajaan persekutuan, Muhyiddin menjelaskan, beliau tetap menganggapnya sebagai kawan.

Ujarnya, adalah lebih baik jika Ketua Menteri Sabah itu senada dengan kerajaan persekutuan.

“Saya tidak menafikan Datuk Shafie Apdal kawan baik saya, dia buat apa dia sudah buat untuk negeri Sabah. Tetapi lebih baik kalau dia satu baris duduk depan sama-sama tetapi malam ini dia tidak ada.

“Dia kempen sana, dia bantai saya, saya kempen sini, saya bantai dia, itu biasa itu adalah lumrah politik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast