Tiga wania Indonesia yang baru mendarat secara haram di dalam negara menerusi perairan Johor ditangkap anggota tentera terlibat Ops Benteng bersama seorang pemandu teksi warga emas tempatan yang menunggu membawa PATI ke dalam negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Taktik seorang pemandu teksi warga tempatan yang memberi alasan teksi rosak di tengah ladang sawit membawa padah apabila dia dicekup bersama tiga pendatang asing tanpa izin (PATI).

Tangkapan itu berlaku semasa Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) oleh Pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 K-A-D).

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak, Melaka dalam kenyataan hari ini berkata, sekitar jam 11.30 pagi hari ini kumpulan Rondaan 1 KAD telah melihat sebuah Teksi Jenis Proton Exora yang mencurigakan berada di bahu jalan sekitar kawasan Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar, Johor bersama seorang pemandu lelaki warga tempatan berusia 70 tahun.

Setelah pemeriksaan dilakukan, pemandu tersebut memaklumkan kenderaannya mengalami kerosakan.

Mencurigai kehadirannya di situ, mendorong pasukan itu menjalankan pemeriksaan lanjut.

Kereta teksi milik suspek warga emas ltempatan berusia 70 yang menunggu mengambil tiga wanita Indonesia yang baru mendarat dan menunggu teksi di ladang di Johor.Gambar Kredit: ATM Kem Terendak, Melaka.

“Hasil siasatan lanjut dan pemeriksaan telefon bimbit beliau telah mendapati pemandu tersebut sedang menunggu untuk mengangkut PATI,” kata markas itu.

Kumpulan rondaan digerakkan ke lokasi untuk melaksanakan penjejakan di sekitar kawasan tersebut dan pada sekitar jam 11.50 pagi telah berjaya menemui dan menangkap 3 PATI wanita warga Indonesia berusia antara 37 hingga 40 tahun yang baru masuk ke Malaysia dan menunggu kenderaan tersebut.

Menurut markas itu, pihaknya telah merampas kereta Proton Exora, wang tunai dan tiga telefon bimbit dianggarkan bernilai RM57,930.45.

“Kesemua PATI dan pemandu teksi telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette