Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap sambil ditemani calon Perikatan Nasional (PN) N.72 Merotai, Mohamad Jalani Chachu (kanan) ketika hadir ke Majlis Sentuhan Mesra Bersama Warga DUN Merotai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Taman Merotai Jaya, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Siri ceramah Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terganggu apabila sistem pembesar suara mengalami gangguan sebanyak dua kali.

Secara spontan, Azmin mendakwa Parti Warisan Sabah (Warisan)  telah sabotaj kempen beliau.

Gangguan itu berlaku ketika beliau mengkritik dasar Shafie Sabah for Sabahan.

“Dasar Sabah for Sabahan, sedangkan kamu (Shafie) sendiri berkahwin dengan orang Kedah.

“Shafie Apdal isterinya orang Kedah, orang Sungai Petani.

“Tidak ada masalah. Orang Sabah pergi ke Kedah kahwin dengan orang Kedah. Orang Sabah…(ketika ini pembesar suara tidak berfungsi).

“Ini mesti Warisan kacau (pembesar suara tidak berfungsi), Warisan sudah sabotaj mungkin,” katanya disambut hilai tawa para hadirin.

Azmin ketika itu terlibat dalam siri kempen seharinya di Program Majlis Sentuhan Mesra Warga DUN Merotai di Bilik Gerakan Utama (BGU) Perikatan Nasional, Tawau sebentar tadi.

Ceramah Azmin terhenti beberapa minit disebabkan gangguan tersebut.

Beliau kemudiannya meneruskan ceramah beliau dengan menggunakan pembesar suara yang lain.

Dalam pada itu, Azmin dilihat kerap kali meninggalkan kerusinya ketika majlis berkenaan.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu dilihat beberapa kali menerima panggilan telefon dan bertindak meninggalkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin dan dif-dif kehormatan lain bagi menjawab panggilan tersebut. – MalaysiaGazette