KUALA LUMPUR – CGS-CIMB Research menjangkakan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion akan meningkatkan defisit belanjawan yang dianggarkan oleh Kementerian Kewangan sebelum ini sebanyak 0.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Defisit belanjawan yang dianggarkan itu berkemungkinan lebih rendah sekiranya sebahagian daripada perbelanjaan berkenaan dimasukkan dalam Belanjawan 2021 atau dana itu diperuntukkan semula daripada anggaran perbelanjaan lain, katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

“Walaupun Kita Prihatin akan meningkatkan lagi aspek metrik fiskal, namun wujud ruang selepas Parlimen meluluskan kenaikan had hutang negara kepada 60 peratus daripada KDNK pada Ogos tahun ini,” menurut firma penyelidikan itu.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pakej tambahan itu meliputi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM2.4 bilion dan Geran Khas Tambahan bernilai RM600 juta.

Pakej Kita Prihatin merupakan kesinambungan pakej-pakej rangsangan ekonomi terdahulu iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA yang bernilai RM295 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada KDNK negara, dengan suntikan fiskal tambahan oleh kerajaan berjumlah RM45 bilion.

CGS-CIMB Research berkata, ia mengekalkan unjuran KDNK pada -4.0 peratus pada 2020 dan unjuran defisit belanjawan pada 6.5 peratus daripada KDNK.

“Walaupun kami percaya Bank Negara Malaysia (BNM) telah membayangkan untuk menamatkan kitaran penurunan monetari selepas pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas kepada 1.75 peratus, namun, BNM mungkin meneliti semula unjuran makroekonomi dan pendirian dasar monetari yang lebih memihak kepada kadar faedah rendah sekiranya (terbukti) ketidaktentuan politik memberi impak kepada penangguhan perbelanjaan fiskal dan bukan fiskal,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd telah menyemak semula unjuran defisit fiskalnya kepada 7.5 peratus daripada KDNK berbanding 6.8 peratus sebelum ini berikutan rangsangan tambahan itu yang dijangka akan dibiayai menerusi pinjaman domestik, terutamanya melalui terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia, Terbitan Pelaburan Kerajaan dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia.

Menurutnya, berikutan defisit fiskal yang lebih tinggi, hutang kerajaan dijangka meningkat kepada 62.6 peratus daripada KDNK menjelang akhir 2020, melebihi daripada had berkanun 60.0 peratus.

“Peningkatan nisbah hutang ini adalah berjustifikasi dalam keadaan ekonomi yang bergolak selagi kerajaan memberikan komitmen untuk menurunkannya setelah ekonomi stabil,” katanya.

Kenanga berkata rangsangan tambahan itu adalah tepat pada masanya kerana ia akan mengurangkan sebahagian daripada impak perbelanjaan pengguna yang dijangka lebih rendah berikutan tamatnya tempoh moratorium pembayaran semula pinjaman pada 30 Sept.

“Berikutan tahap ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat dan risiko peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh dunia, kami mengekalkan unjuran KDNK 2020 pada -5.9 peratus (2019: 4.3 peratus).

“Bagaimanapun, kami masih menjangkakan pemulihan yang berperingkat pada separuh kedua 2020, disokong oleh dasar monetari akomodatif dan langkah pengembangan fiskal.Namun, risiko yang wujud daripada ketegangan geopolitik yang meruncing dan keadaan politik tempatan, masih ada,” katanya.

Kenanga turut menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2021 kepada 5.3 peratus daripada 5.1 sebelum ini.

Sementara itu, AmBank Research berkata keadaan ekonomi tempatan adalah semakin baik dan menurutnya Indeks Pelopor (IP) telah meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut, dengan bacaan pada Julai menunjukkan lonjakan 7.7 peratus tahun ke tahun berbanding 4.6 peratus tahun ke tahun pada Jun — pengembangan paling pantas sejak Mac 2010.

Berdasarkan bulanan, IP menokok 4.4 peratus bulan ke bulan pada Julai daripada 3.8 peratus bulan ke bulan pada Jun.

Ini menunjukkan pemulihan ekonomi menerima sedikit momentum berikutan langkah pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan, katanya.

“Ini mungkin bererti BNM telah selesai menjalankan penurunan kadar. OPR dijangkakan terus kekal pada 1.75 peratus.

“Pengurangan 125 mata asas secara terkumpul dalam OPR pada tahun ini, disertai dengan langkah rangsangan fiskal berjumlah RM3.05 bilion akan terus memberikan sokongan kepada ekonomi,” kata AmBank. – MalaysiaGazette