Kejayaan IPD Kajang menumpaskan sindiket pengedaran dadah aktif lebih dua bulan di Lembah Klang yang turut membabitkan seorang penuntut IPTA semalam.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah yang turut dianggotai pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang aktif sejak Julai lalu di sekitar Lembah Klang berjaya ditumpaskan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Hassan berkata, bertindak atas maklumat dadah, pasukan bahagian narkotiknya telah bergegas ke Balakong sekitar jam 2.25 petang semalam.

“Hasilnya kita berjaya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 24 tahun di kawasan tempat letak kereta Menara Simfoni, Balakong.

“Pemeriksaan rapi ke atas suspek berjaya menjumpai satu ketulan mampat berisi bahan disyaki dadah jenis cannabis (ganja) anggaran berat 256.5 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zaid, polis menjalankan soal siasat lanjut terhadap suspek itu sebelum sekitar 2.45 petang hari yang sama berjaya melakukan satu lagi serbuan di kawasan sama.

Hasilnya, sepasukan Narkotik Kajang berjaya menahan tiga orang lagi anggota sindiket berkenaan iaitu tiga suspek lelaki lingkungan berumur 24 tahun di sebuah rumah di Menara Simfoni, Balakong.

Pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek dan rumah sebelum berjaya menjumpai enam ketulan mampat, 18 paket dan empat botol cecair berisi bahan disyaki dadah jenis cannabis anggaran berat 2,360 gram (2.3 kilogram).

“Polis turut menemui peralatan yang disyaki digunakan kesemua suspek sindiket itu bertujuan untuk membungkus dadah dan salah seorangnya dikenalpasti sebagai pelajar universiti awam yang masih menuntut dan dipercayai diupah oleh kawan-kawannya.

“Dua daripada suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod lampau berkenaan kes jenayah dan dadah,” ujarnya.

Jelas beliau, nilai rampasan dadah daripada kesemua suspek adalah dianggarkan berjumlah RM6,541.25 dan wang tunai RM1,200 turut dirampas.

Tegasnya, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua tangkapan dikesan positif dadah jenis cannabis (ganja) atau THC.

Menurut Zaid, kesemua suspek sedang ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula hari ini hingga 29 September ini.

Menurutnya, polis turut mendalamkan siasatan untuk mengenalpasti dalang yang berperanan disebalik sindiket itu.

Beliau turut menegaskan polis juga akan menyiasat dalam semua sudut sama ada pengedaran dadah oleh penuntut IPTA itu turut melibatkan pelajar yang lain kenalan suspek di IPTA.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

“Menerusi serbuan ini, jumlah keseluruhan rampasan dadah dipercayai boleh dibekalkan kepada 872 penagih dadah,” tegasnya.-MalaysiaGazette