Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melihat sistem perparitan kawasan berisiko banjir akibat projek lebuh raya EKVE di Felcra Semungkis, Hulu Langat, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2020

BANGI – Sebanyak 942 premis dikenakan tindakan tegas oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya juga turut mengambil tindakan terhadap 2, 956 penguatkuasaan di bawah perundangan yang merangkumi 881 notis arahan, 2005 kompaun yang bernilai RM4, 010,000.

Turut dilakukan, 37 operasi kelengkapan dengan empat premis digantung satu premis dikenakan Perintah Larangan dan 28 kertas siasatan disediakan untuk tindakan mahkamah.

“Operasi Gempur bagi bulan September 2020 telah dilaksanakan secara berperingkat termasuk operasi pada hari ini di Selangor yang melibatkan penguatkuasaan ke atas 90 buah ptremis termasuklah premis-premis yang terletak di hulu takat pengambilan air.

“Dalam hal ini, 92 tindakan penguatkuasaan telah diambil iaitu 30 notis arahan telah dikeluarkan bagi penambahbaikan alat kawalan pencemaran dan pengursan buangan berjadual. 58 kompaun berjumlah RM116,000 dikenakan dan empat buah premis telah dikenakan penahanan operasi kelengakapan (POK) kerana gagal memasang alat kawalan pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan operasi gempur cegah isu pencemaran alam sekitar di Seksyen 16 Bangi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim memberitau, JAS telah melaksanakan sebanyak 72 Operasi Gempur di seluruh negara bagi memastikan pematuhan industri kepada perundangan alam sekitar.

Ujarnya, menerusi operasi tersebut sebanyak 2,572 premis dari pelbagai jenis industri termasuk 70 kilang yang dilesenkan oleh JAS iaitu kilang kelapa sawit, kilang getah asli mentah atau kemudahan pengolahan atau pelupusan buangan berjadual diperiksa.

“Melalui Operasi Gempur ini, penguatkuasaan akan difokuskan kepada premis atau punca-punca pencemaran terutamanyadi hulu takat pengambilan air sering diadu, menghasilkan beban pencemar yang tinggi, sering dikenakan tindakan penguatkuasaan, premis menghasilkan buangan terjadual dalam kuantiti yang tinggi atau terletak di kawasan yang mempunyai isu alam sekitar atau di lembingan sungai yang tercemar.

“Kementerian ingin mengingatkan bahawa tindakan tegas terus akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menyebabkan pencemaran air sungai.

“Dalam hal imi seseorang yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. – MalaysiaGazette