KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih layak mentadbir Sabah kerana ia terdiri daripada gabungan parti-parti pelbagai kaum berbanding seterunya, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kepelbagaian kerjasama dalam gabungan itu, menurut Muhyiddin akan meningkatkan lagi kemampuan mentadbir Sabah dengan lebih baik.
“Saya yakin rakyat Sabah akan menerima dasar-dasar yang telah diperkenalkan dan akan terus dilaksanakan supaya Sabah terus maju dan membangun dengan GRS, yang ada PN,ada Barisan Nasional (BN) ada Parti Bersatu Sabah (PBS) nak disebut ada juga MCA, Pas, UMNO, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan tidak lupa ada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Kita punya Perikatan Plus sejumlah parti pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Ceramah Perdana di Bakut View, Kg Sendil malam tadi.
Untuk rekod, Warisan Plus yang bertanding di Sabah kali ini terdiri daripada Warisan, DAP, UPKO, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Muhyiddin menggunakan pentas berkenaan dengan sebaik-baiknya untuk menjelaskan antara rancangan yang akan dilakukan sekiranya GRS berjaya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya negeri.
Antara yang boleh dilaksanakan adalah menambahbaik dan membina lebih banyak jalan yang selesa.
“Kalau setakat kerajaan negeri mahu bina jalan bisa bah. Tapi binanya tidak banyak.Perlu ada sokongan dan dukungan kerajaan pusat supaya lebih banyak jalan dapat dibina. Kalau kerajaan pusat dan negeri adalah Perikatan Nasional, GRS, lebih mudah, begitu,” kata Pengerusi Perikatan Nasional itu lagi.
Dalam masa yang sama, Muhyiddin memaklumkan tentang ketegasan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak akan berjaya menyelinap masuk ke Sabah.
“PATI masuk ke dalam negeri, Sabah atau Johor tangkap hantar balik. Kita tidak boleh maafkan orang masuk menceroboh ke dalam negeri kita, cari kerja mengganggu keselamatan, hal ehwal kehidupan rakyat kita datang tanpa surat, apa-apa tanpa izin.
“Ini menceroboh. Kita tidak boleh izinkan masuk ke Sabah. Jangan benarkan mereka tinggal di sini hantar mereka balik,” tegasnya.- MalaysiaGazette