Calon Warisan DUN N.65 Senallang yang merupakan Presiden parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bercakap kepada media selepas hadir ke majlis Realisasi Perpaduan bersama parti Warisan Sabah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Cenderawasih, Kunak, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2020.

KUNAK – Kerajaan Persekutuan dijangka menghadapi kesukaran daripada segi ekonomi tanpa penyertaan Sabah didalamnya, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.

“Apa mereka ingat Sabah akan susah sekiranya tidak ada kerajaan Persekutuan? Kuala Lumpur akan sudah sekiranya tidak ada Sabah. Minyak kita punya,” ucap Shafie sambil disambut tepukan para penyokongnya.

Shafie berkata demikian pada Majlis Realisasi Perpaduan Bersama Parti Warisan di Kampung Cenderawasih, Batu 5, Kunak, sebentar tadi.

Shafie dalam pada itu memberitahu para penyokong Warisan bahawa semasa pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau pernah memohon agar Kerajaan Persekutuan memberikan 20 peratus royalti kepada Sabah.

Ujar Shafie, perkara itu dipersetujui Dr. Mahathir.

“Saya beritahu dengan Tun Dr Mahathir, Sabah minta 20 peratus royalti, saya tidak minta 60 peratus.

“Ini minyak Sabah punya, bukan minyak Kuala Lumpur tapi kita pula yang minta. Petronas cakap kalau Sabah ambil 20 peratus, Petronas akan bangkrap. Berpuluh tahun Petronas sudah ambil 95 peratus tidak bangkrap. Kita cuma dapat lima peratus sahaja.

“Tun Dr Mahathir kata uruskannya supaya tukar perjanjian bukan lima peratus tapi Sabah dan Sarawak berkongsi memilik Petronas. Itu kata Tun Dr Mahathir tapi malangnya dia digugurkan. Kalau tidak berjaya dalam merealisasikan hak kita,” katanya.

Pada Julai 2018, Kerajaan Persekutuan pimpinan Dr Mahathir bersetuju untuk memberi royalti 20 peratus kepada Sabah. – MalaysiaGazette