Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin. foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada penglibatan orang dalam berhubung kes samun barang kemas bernilai RM3 juta dan wang tunai RM 67,000 di Lebuhraya Besraya Sungai Besi pada 21 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, satu pasukan petugas telah ditubuhkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dalam usaha menjejaki suspek-suspek yang sedang diburu polis itu.

“Kita menubuhkan pasukan task force untuk melihat dan kaji persamaan kes itu dengan kes samun di Perak dan beberapa negeri serta tempat lain.

“Kita masih lagi mengesan suspek dan lokasi mereka bersembunyi,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.34 petang itu, mangsa yang bertugas sebagai jurujual sebuah syarikat pengedar emas bersama rakannya dalam perjalanan dari Jalan Kuchai Lama ke Sungai Besi melalui Lebuhraya Besaraya bagi mengedar barang kemas dan emas itu untuk kedai-kedai emas di ibu negara.

Dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam telah menahan kenderaan mangsa di bahagian depan dan belakang sebelum tiga suspek berbadan besar bersenjatakan parang memecahkan cermin kiri dan kanan kenderaan mangsa sebelum kedua-dua mereka ditarik keluar.

Suspek kemudian melarikan kenderaan mangsa yang mempunyai barang kemas dan emas dan wang tunai sebelum kenderaan dijumpai dalam keadaan terbakar di Damansara Petaling Jaya.

Menurut Saiful Azly, setakat ini belum ada lagi saksi baharu yang tampil merakam keterangan dalam kes itu melainkan lapan saksi termasuk pemandu e-hailing. – MalaysiaGazette