KUALA LUMPUR – Pelakon Abby Abadi berkongsi rahsia perkahwinannya yang kekal harmoni dan bahagia selepas lima tahun mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faizal Zakaria.
Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 42, berkata dia dan suami
sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama.
“Ada juga pasang surutnya tapi saling menerima, saling melengkapi, bertolak ansur, bekerjasama dalam banyak perkara… itu antara yang membuatkan hubungan ini harmoni!
“Sejujurnya memang dengan suami tersayang kurang bergaduhlah sebab berpegang kuat pada tali Allah ya,” katanya.
Abby menjawab soalan seorang pengikut yang mahu mengetahui tip kebahagian rumah tangga di Instasory miliknya.
Pelakon drama Gerak Khas ini berkahwin dengan Muhammad Faizal pada 14 Ogos 2015.
Pasangan ini dikurniakan seorang anak, Muhammmad Danial Firman yang dilahirkan secara pra-matang namun meninggal dunia selepas 70 hari dirawat di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh pada Disember tahun lalu.
Memiliki tiga orang anak angkat, Abby berkata dia dan suami memberikan kasih sayang sama rata tanpa membeza-bezakan mereka dengan anak kandung.
“Saya anggap macam anak sendiri, jangan dibeza-bezakan dan saya pun tak pernah anggap mereka ini anak (angkat). Ini anak-anak saya dunia dan akhirat!,” ujarnya.
Pasangan ini memelihara tiga anak angkat sejak kecil iaitu Muhammad Daiyan Fayyad, Maisara Dayana Fathia dan Maira Darda Farisa.
Menerusi perkahwinan terdahulu bersama Norman Hakim, Abby mempunyai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 17, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisah Hakim, 11. – MalaysiaGazette