Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR- Seramai 523 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan semalam yang mana kebanyakannya atau 356 individu kerana melakukan aktiviti dalam pub dan kelab malam.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 523 yang telah ditahan, seramai 483 individu telah dikompaun manakala 40 lagi ditahan reman.

“Semalam (26 September 2020), PDRM telah menahan 523 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 483 individu telah dikompaun manakala 40 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam (356), penjarakan fizikal (105), tidak memakai pelitup muka (38), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (20), dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (empat),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ismail Sabri, Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 45,847 pemeriksaan semalam (26 September 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 2,424 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,244 anggota telah membuat pemantauan di 3,213 pasar raya, 3,893 restoran serta 1,017 penjaja, 1,011 kilang, 2,896 bank dan 520 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 903 terminal pengangkutan darat, 207 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara.

Dalam pada itu, seramai 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah berjaya ditangkap dalam Operasi Benteng.

Turut dirampas adalah tiga buah kenderaan darat.- MalaysiaGazette