KOTA KINABALU – Dua hari selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung, siapa bakal jawatan Ketua Menteri masih menjadi teka-teki.
Semalam, Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin meminta tempoh bagi mempertimbangkan calon yang dikemukakan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tinjauan MalaysiaGazette di Istana Negeri Sabah pada pukul 6 pagi mendapati keadaan masih lengang.
Ramai pengamal media menjangkakan angkat sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu akan berlangsung hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri.
Dalam masa yang sama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Bung Moktar Radin juga dilihat calon bagi jawatan tersebut bagi parti itu.
Semalam, kedua-dua pemimpin itu mendapat perkenan untuk mengadap TYT di Istana Negeri.
PRN Sabah diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal, selepas Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh sokongan wakil rakyat melebihi Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Pada pilihan yang diadakan Sabtu lalu, PN meraih 38 kerusi menewaskan Warisan dengan 32 kerusi. – MalaysiaGazette