Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing masih menjadi penjual bersih di bursa tempatan minggu lalu kepada RM350.8 juta, aliran keluar ketiga pada bulan ini.

Sebagai perbandingan, minggu kedua bulan ini juga menyaksikan pelabur asing sebagai penjual bersih sebanyak RM559 juta.

MIDF Research berkata, dalam bulan ini, pelabur asing telah melupuskan sebanyak RM1.43 bilion.

Manakala pelabur runcit juga menjual sebanyak RM307.3 juta ekuiti pada minggu lalu dan institusi tempatan sebanyak RM657.5 juta pada tempoh yang sama.

Menurutnya, minggu lalu menyaksikan pengeluaran besar-besar dalam kalangan pelabur peruncit – pada tahap yang tidak pernah dilihat sejak Mei 2013.

”Berdasarkan analisis kami dengan data bertarikh sejak 2011, minggu lalu adalah aliran keluar teratas dalam tempoh 15 minggu sejak Februari 2011. Ini berpotensi menandakan permulaan akhir kecairan yang didorong pasaran yang kita alami sekarang,” katanya dalam laporan mingguannya.

Ketika pasaran dibuka semula pada hari Isnin minggu lalu, pelabur asing menjual RM256.03 juta ekuiti, dengan peruncit dan institusi tempatan, masing-masing sebagai penjual dan pembeli bersih sebanyak RM1.71 juta dan RM257.73 juta.

Katanya, aliran keluar terbesar adalah hari Isnin iaitu RM256.03 juta dan aliran keluar terkecil pada hari Jumaat iaitu RM125.55 juta.

Setakat ini, jualan bersih pelabur-pelabur asing mencecah RM21.78 bilion.

Pelabur tempatan dan institusi adalah pembeli bersih sebanyak RM10.25 bilion dan peruncit pula RM11.16 bilion.

Dalam penyertaan, pelabur-pelabur runcit merekodkan penurunan mingguan 32.4% dalam nilai dagangan purata harian (ADTV) manakala pelabur asing pula susut 51.50%. – MalaysiaGazette