Foto hiasan

PARA pengundi perlu lebih cerewet dalam memberi undi mereka kepada mana- mana ahli politik untuk menjadi wakil mereka di dalam Parlimen di peringkat persekutuan ataupun di Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri. Para pengundi perlu memastikan orang yang mereka beri undi itu adalah orang yang benar-benar sesuai dan layak untuk menjadi wakil mereka dalam proses pentadbiran negara. Sekiranya pengundi mengambil mudah diatas perkara ini, mereka tidak seharusnya menunding jari ke atas mana-mana ahli politik yang telah dipilih oleh mereka sendiri sebagai wakil rakyat melalui proses pilihan raya sekiranya wakil rakyat yang telah dipilih oleh mereka sendiri tidak menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat pada kemudian hari.

Banyak isu yang melibatkan wakil rakyat dalam negara kita semenjak akhir- akhir ini. Antara isu yang paling hangat adalah isu yang melibatkan lompat parti sehingga berlakunya perubahan drastik proses politik dan pentadbiran kerajaan dalam negara kita serta isu yang melibatkan janji-janji manis manifesto pilihanraya yang tidak dipenuhi. Sekiranya pengundi tersilap memilih wakil rakyat, tidak banyak pilihan yang boleh dilakukan melainkan menghantar surat aduan kepada pemimpin tertinggi dalam negara, muncul dalam program berita untuk membuat aduan umum ataupun menunggu selama bertahun-tahun untuk proses pilihanraya yang akan datang bagi menukar wakil rakyat yang baru. Dari sudut perundangan juga, tidak banyak pilihan yang ada bagi para pengundi untuk singkirkan wakil rakyat yang telah mereka pilih sekiranya wakil rakyat yang mereka telah pilih tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sepatutnya ataupun didapati tidak layak dan sesuai untuk jadi wakil rakyat seperti yang diharapkan oleh para pengundi sendiri.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan misalnya menyatakan dengan jelas mengenai isu ini. Perkara 48 Perlembagaan Malaysia adalah perkara yang menyatakan kehilangan hak seseorang sebagai ahli parlimen. Perkara ini terletak pada Bab 4, Bahagian IV, Perlembagaan Malaysia. Perkara 48 ini memperuntukkan bahawa “Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika (a) dia adalah dan telah didapati atau diisytiharkan tidak sempurna akal; atau (b) dia seorang bankrap belum lepas; atau (c) dia memegang sesuatu jawatan berpendapatan; atau (d) setelah dinamakan untuk pemilihan ke mana- mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan sesuatu Negeri, atau setelah bertindak sebagai ejen pilihan raya bagi seseorang yang dinamakan sedemikian, dia tidak menyerahkan apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki sedemikian; atau (e) dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau (f) dia telah dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan, atau telah dengan sukarela menggunakan hak kewarganegaraan di mana-mana negara di luar Persekutuan atau telah membuat suatu akuan setia kepada mana-mana negara di luar Persekutuan.

Perkara 48 menunjukkan kepada kita semua, seseorang wakil rakyat itu hanya boleh kehilangan kerusi wakil mereka sekiranya mereka melakukan salah satu kesalahan seperti yang telah dinyatakan diatas dan tidak diatas kesalahan-kesalahan yang lain. Mengenai isu lompat parti pula, tidak ada tindakan yang boleh diambil oleh rakyat terhadap mana-mana wakil rakyat yang mereka telah pilih yang didapati melompat parti. Ini adalah kerana tiadanya undang-undang khusus mengenai larangan terhadap mana-mana wakil rakyat untuk lompat parti. Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas memberi jaminan terhadap kebebasan yang telah ditetapkan melalui Perlembagaan Persekutuan kita untuk setiap warga negara kita untuk bebas memilih persatuan. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan isu berkaitan dengan kebebasan setiap warganegara Malaysia untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Perkara (10) (1) (c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa “Semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan”. Pada masa yang sama juga sudah terdapat keputusan mahkamah yang jelas terhadapnya dalam negara kita. Pada April 1992, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan kini) ketika itu dalam kes Nordin bin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992] 1 CLJ 343 telah memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan tidak banyak pilihan yang diberikan melalui proses undang-undang dalam negara kita untuk rakyat mengambil sebarang jenis tindakan terhadap wakil rakyat mereka yang didapati gagal menjalankan tugas mereka sebagai wakil rakyat yang sepatutnya serta menghormati undi pihak pengundi yang telah memberi undi kepada mereka dan parti mereka, setiap rakyat khususnya setiap pengundi harus memastikan mana- mana ahli politik yang mereka pilih adalah orang yang benar-benar layak untuk menjadi wakil rakyat. Setiap pengundi harus menjalankan kajian terperinci terhadap setiap calon yang menawarkan diri mereka bertanding untuk menjadi wakil rakyat sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri. Sikap sambil lewa atau mengambil ringan terhadap isu memilih wakil rakyat ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Bak kata pepatah sesal dulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna lagi.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast