Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu dengan gandingan Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam sebagai timbalannya dilihat mampu membawa Sabah keluar daripada kemelut ekonomi.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, bukan mudah untuk membangunkan semula Sabah selepas banyak kerosakan telah dilakukan kerajaan terdahulu khususnya ekonomi terjejas, lebih-lebih lagi dengan pandemik Covid-19.

“Saya berkeyakinan Ketua Menteri Sabah baharu akan dapat membuat keputusan melantik gabungan menteri dan timbalan menteri dalam kalangan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpengalaman dan baharu.

“Harus diingat sepanjang 26 bulan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengetuai Sabah, tiada satu pun pelabur luar yang berjaya dibawa masuk ke Sabah.

“Justeru harapan rakyat Sabah agar kerajaan baharu ini dapat mengembalikan Sabah ke landasan tepat di mana perlunya pelabur dari luar dibawa masuk dengan ini peluang pekerjaan dapat diwujudkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Hajiji yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, dan ADUN Sulaman, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, Kota Kinabalu, jam 10.32 pagi.

Turut mengangkat sumpah Bung Moktar selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga ADUN Lamag sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga ADUN Tambunan, Datuk Dr Jeffry Kitingan, menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri II.

Manakala Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga ADUN Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam pula sebagai Timbalan Ketua Menteri III.

Zulkarnain juga mengingatkan semua pihak yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah agar berhenti daripada terus berpolitik dan mereka perlu fokus untuk berkhidmat kepada rakyat yang kini berdepan dengan ancaman Covid-19.

“Hentikanlah berpolitik, selepas PRN Sabah ke-16 ini, rakyat berhadapan pula dengan jangkitan Covid-19 yang semakin banyak.

“Pilihan raya sudah berakhir, bantulah rakyat, tunaikanlah janji yang telah dibuat demi kebajikan rakyat Sabah.

Dalam pada itu, Zulkarnain turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah kerana telah membuat keputusan menumbangkan Kerajaan Warisan Sabah pada 26 September lalu.

“Keputusan ini adalah jelas satu revolusi rakyat Sabah yang inginkan perubahan. Kesengsaraan hidup sepanjang 26 bulan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Sabah semasa Mohd Shafie menjadi Ketua Menteri Sabah terlalu sukar untuk diungkapkan melalui perkataan.

“Ucapan tahniah juga diucapkan kepada Tan Sri Musa Aman serta belasan Adun Warisan, PKR dan DAP yang telah keluar parti sebelum ini kerana tanpa pengorbanan mereka sudah tentu PRN Sabah ke-16 ini tidak akan berjaya diadakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazettte