Walaupun kes jangkitan COVID-19 tinggi dan aktiviti hiburan masih dilarang, ada individu mengambil risiko mengunjungi sebuah pusat hiburan karaoke di Jalan Ampang untuk berhibur, sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 157 individu ditahan kerana melakukan aktiviti melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pub dan kelab malam.

Seperti sedia maklum, pub dan kelab malam antara premis yang masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP Pemulihan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hariannya berkata, jumlah keseluruhan individu yang ditangkap kerana tidak mematuhi PKPP ialah 433 orang.

Katanya, dari jumlah itu, 345 telah dikenakan kompaun, 60 direman dan 28 dijamin.

Ismail Sabri Yaakob

“Seperti biasa, mereka ditahan kerana melakukan kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri, penjarakan fizikal, aktiviti perjudian, menggaji warga asing tanpa permit yang sah serta tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

“Manakala Pati yang ditangkap ketika Operasi Benteng ialah seramai 76 orang, dengan seorang penyeludup,” katanya.

Beliau berkata, dari jumlah itu, 27 Pati ditahan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Rejimen Pertama Kor Armor Diraja.

Kata Ismail, kumpulan itu ditangkap atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di sekitar sebuah hotel di Desaru, Bandar Penawar, Johor.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya. – MalaysiaGazette