Tiga PATI Indonesia dan pemandu tempatan ditahan dalam Op Benteng di Pantai Tanjung Buluh, Sedili Kechil, baru baru ini. - Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang warga tempatan bersama tiga orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia semasa Op Benteng dijalankan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) di sekitar Pantai Tanjung Buluh, Sedili Kechil, awal pagi tadi.

Semasa rondaan di kawasan tersebut, pasukan terbabit telah melihat sebuah kenderaan Toyota Hilux mencurigakan diletakkan di bahu jalan sekitar jam 12 malam.

Hasil soal siasat mendapati pemandu tersebut yang merupakan warga tempatan berbangsa Cina dan berusia 32 tahun sedang menunggu PATI di lokasi berhampiran.

Hilux yang dirampas.

Bertindak daripada maklumat pemandu berkenaan, 7 Briged membuat penjejakan menemui tiga PATI Indonesia berumur 31 hingga 57 tahun ditahan di lokasi Ladang Belukar Durian, Sedili Kechil sekitar jam 12.30 pagi tadi.

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sedili.

Rampasan bernilai RM73,750.56 telah dibuat melibatkan kenderaan jenis Toyota Hilux, telefon bimbit dan wang tunai. – MalaysiaGazette