Nik Mohd Hasyudeen Yusoff

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyaksikan peningkatan jumlah deposit sebanyak RM5 bilion semasa pandemik iaitu pada Februari tahun ini sehingga sekarang.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, badan tersebut juga mendapati tiada sebarang pengeluaran deposit secara besar-besaran semasa pandemik melanda negara atau ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“(Sebaliknya) kami menyaksikan peningkatan besar deposit sejak awal wabak melanda sehingga sekarang.

“Secara amnya, tiada masalah (pengeluaran deposit secara besar-besaran).

“Cuma ada sebilangan kecil pendeposit yang meminta bantuan kami untuk menyelesaikan beberapa masalah kecil mereka.

“Tetapi yang lain-lain tiada, kami berterima kasih kepada pendeposit kerana yakin kepada kami meskipun ketika berlaku pandemik,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran rasmi aplikasi ThiJari hari ini.

Ketika diminta menjelaskan mengenai bantuan yang diminta oleh para pendeposit, Nik Hasyudeen menjelaskan, ia hanya melibatkan perkara-perkara kecil seperti pendeposit tidak mahu hilang giliran untuk menunaikan haji meskipun terpaksa membuat pengeluaran wang daripada akaun TH mereka.

“Perkara-perkara sebegini kami boleh selesaikan dan hanya melibatkan sebilangan kecil sahaja pendeposit,” katanya lagi.

Tambah beliau, nilai deposit di TH ketika ini adalah RM75 bilion.

Menyentuh mengenai produk terbaharu yang dilancarkan secara rasmi oleh entiti pengurusan haji itu, Nik Hasyudeen berkata, ia adalah aplikasi telefon pintar yang membolehkan para pendeposit untuk melakukan transaksi dalam talian sepertu pertanyaan baki, cetak penyata, pemindahan wang, semak status haji dan pendaftaran haji.

Sejak dilancarkan pada Februari lalu, seramai 30,000 pendeposit telah memuat turun aplikasi berkenaan di Google Play dan Apple Store.

TH mensasarkan 500,000 pengguna akan menggunakan aplikasi ThiJari pada tahun ini.

Menurut Nik Hasyudeen, kira-kira 78 peratus transaksi TH dilakukan secara dalam talian menerusi pelbagai platform antaranya melalui portal ThiJari, mesin ATM dan CDM serta perbankan internet rakan strategik seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Islamic manakala baki 22 peratus lagi adalah transaksi di kaunter.- MalaysiaGazette