Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bersama gabungan NGO Malaysia menunjukan kain rentang sebelum menyerahkan memorandum mendesak SPRM menangkap dan tahan perasuah yang bergelar Tan Sri dan yang terlibat dengan rasuah penjualan tanah DBKL di bawah harga pasaran di perkarangan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maluri, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 05 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS) hari ini hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dan menyerahkan memorandum beserta dokumen yang didakwa bukti mengaitkan seorang pemaju hartanah berstatus Tan Sri yang didakwa membeli tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, individu itu didakwa telah membeli tanah yang belum dipindah hak milik sepenuhnya kepada DBKL dengan nilai RM14 juta iaitu lebih rendah dari harga pasaran semasa berjumlah RM80 juta.

Katanya, dokumen bukti yang menyokong segala dakwaan pihaknya itu akan meyakinkan SPRM supaya percaya ada asas dan seterusnya membuka kertas siasatan.

“Kami bersama ahli-ahli gabungan Pertubuhan Buka Kerajaan (NGO) Melayu selepas serah memorandum kepada DBKL minggu lalu, kini datang ke SPRM KL untuk mendesak pihak berkuasa itu siasat salah laku itu.

“Sebelum ini apabila kami merujuk kes sama dua tahun lalu kepada SPRM mereka memberi alasan tiada kes dan menutup fail.

“Kali ini saya tampil dengan segala dokumen yang saya percaya boleh membantu SPRM untuk membuka semula kertas siasatan dalam kes ini dan memanggil individu bergelar Tan Sri itu dan siasat dia segera,” katanya hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sikap teragak-agak SPRM menyiasat kes yang samai sedangkan suruhanjaya itu pernah menyiasat seorang ahli politik dalam penjualan rumah banglo di bawah harga pasaran di Pulau Pinang.

Beliau juga mahu semua individu yang terlibat secara langsung dalam urusan jual beli tanah itu iaitu bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang telah meluluskan pembeliajn tanah oleh ‘Tan Sri’ itu yang bersangkut sebagai saksi dalam satu kes rasuah membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tambah Mohd Ridzuan, pihaknya juga akan membuatsatu laporan polis ke atas ahli perniagaan itu atas dakwaan mengganggu dan cuba mengusir penjaja-penjaja yang masih bertapak di tanah tersebut.

Katanya, ahli perniagaan itu tidak mahu membayar pampasan seperti yang dituntut dalam dokumen jual beli tanah itu dan mengepung tanah itu dengan pagar dan cuba mengusir keluar lebih 28 penjaja tanpa sebarang ganti rugi.

“Kami buat satu laporan polis hari ini untuk mendapatkan perlindungan kepada peniaga-peniaga bumiputera di atas tanah itu termasuk untuk kami mengelak sebarang ancaman keselamatan.

“Justeru pada minggu ini kami akan bertemu dan menyerahkan memorandum sama kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk segera menyelesaikan masalah ini.

“Rakyat sudah tahu dan mahu jawapan mengenai penyelewengan yang brlaku dalam kes ini dan SPRM tanpa menyebelahi mana-mana pihak perlu buka kertas siasatan segera menggunakan bukti yang saya serahkan dalam isu ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

IKHLAS minta DBKL batal tanah yang dijual kepada ‘Tan Sri’