KUALA LUMPUR – Apabila rakyat mempersoalkan kenapa individu yang pulang dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin 14 hari, pelbagai jawapan yang diberikan oleh para pemimpin.

Sedangkan sejak awal lagi kita semua tahu tempoh inkubasi virus Covid-19 ini adalah 14 hari dan bukan satu dua kes sahaja yang mana saringan pertama adalah negatif tetapi saringan kedua menunjukkan sebaliknya.

Namun, tiada apa yang berubah. Pak Menteri terus menghadiri pelbagai acara kerana yakin dengan keputusan saringan pertama sehinggalah pada hari ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19.

Ini sekali gus menyebabkan semua jemaah Menteri serta kenamaan lain yang turut menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara pada 3 Oktober lalu termasuk Perdana Menteri sendiri terpaksa dikuarantin selama 14 hari.

Zulkifli dilaporkan telah menghadiri beberapa program di Sabah sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 24 September lalu yang mana pada waktu itu kerajaan masih belum mewajibkan saringan Covid-19 kepada semua individu yang pulang dari Sabah.

Perintah wajib tersebut hanya dikuatkuasakan pada 27 September lalu.

Selain bekas Mufti Wilayah Kuala Lumpur, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei turut memaklumkan beliau positif Covid-19.

ADUN DAP itu pulang dari berkempen di Sabah pada 27 September bagaimanapun keputusan saringan Covid-19 yang dibuat di klia2 menunjukkan keputusan negatif tiga hari kemudian.

Beliau bagaimanapun mengalami gejala pada 1 Oktober dan melakukan saringan kali kedua pada 2 Oktober yang mana keputusan yang diterima pada hari ini menunjukkan Yi Wei positif Covid-19.

Malah lonjakan kes positif kepada 432 kes pada hari ini menambah lagi rasa marah rakyat terhadap para pemimpin negara tanpa mengira latar belakang.

Malah tanda pagar #KlusterMenteri mula trending sejak siang tadi.

“Ingatkah lagi kita pernah troll menggunakan tanda pagar #klustermenteri sebelum ini? Sekarang ianya benar-benar terjadi,” kata pengguna Twitter @izzraifhaz

“Siapa yang berjaya melandaikan lengkung? Rakyat

“Siapa yang menyebabkan lengkung bergerak ke atas? Ahli politik #KlusterMenteri,” kata @WilliamJacob pula.

“Tengoklah, kembali ke asal malah ianya mungkin lebih teruk kali ini.

“Terima kasih kepada semua ahli politik #KlusterMenteri,” kata AmirMinhat.

“Tiada penjarakan sosial, sesetengahnya tidak memakai pelitup muka dengan betul dan dalam masa yang sama rakyat biasa dikenakan denda kerana tidak patuh SOP,” kata Jazli Aziz.- MalaysiaGazette

 

3 Komen

  1. Tolong senaraikan ahli-ahli politik atau pegawai awam yang telah pergi ke Sabah tempohari sebab kita tidak tahu siapa yang ada sekeliling kita..Covid 19 menular dikalang mereka tanpa sedari.So jangan salahkan rakyat marhen yg tidak tahu apa2.
    Harap mereka bertanggungjawap..
    Terutama ahli-ahli politik tanpa mengira apa-apa parti..Sebelum netizen tolong senaraikan

  2. Badigol sood yg lnggar sop kuarantine bermula dr menteri takiri tuh.. Bila x der tindakan yg lain2 pon ikut sama…badigol btol lah korang nih

Comments are closed.